Wednesday, September 15, 2010

Wacana 11 Ogos 1786

WACANA SEJARAH 11 OGOS 1786 :

IMPLIKASINYA TERHADAP SEJARAH MALAYSIA

Sejarah Malaysia era penjajahan sebenarnya bermula dari Pulau Pinang. Dari pengkalan inilah Inggeris mula mengembangkan sayap menelusuri dan menjajah satu persatu negeri-negeri Melayu. Dari sini juga Inggeris membawa masuk paraburuh asing. Mereka dipergunakan untuk memunggah dan menjarah kekayaan Malaya. Mereka memburuh di lombong-lombong bijih, ladang getah, pelabuhan, tapak-tapak pembinaan jalan raya dan jalan keretapi dan pusat-pusat pentadbiran seluruh Malaya. Hasil daripada kekayaan bijih timah dan getah Malaya menjadi penyumbang terbesar kekayaan Great Britain yang diangkut keluar daripada tanah jajahan.

Di sini juga bermulanya dasar ekonomi bebas, sistem kehakiman, institusi polis dan asas pentadbiran. Segalanya bermula dari Pulau Pinang. Begitu juga dengan kewujudan Jawi Peranakan atau Jawi Pekan. Bermula di Batu Uban Pulau Pinang apabila berlaku perkahwinan campur di antara Melayu dengan Arab.Inggeris mencambahkannya dengan membawa India Muslim dari Selatan India

Wacana sejarah ini berhasrat untuk mengkaji semula peristiwa yang berlaku 224 tahun yang lampau dan kesannya ke atas sejarah Malaysia khususnya di Pulau Pinang. Pada tarikh tersebut seorang Kepten Inggeris yang bernama Francis Light telah mendarat di pantai Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Beliau memacakkan bendera Union Jack menandakan bermulanya penguasaan dan penjajahan Inggeris di Malaya

Kawasan sekitar itu bernama Tanjong Penaga dan terletak di dalam wilayah kekuasaan Datuk Nakhoda Kecil seorang nakhoda Melayu yang telah membukanya terlebih awal dengan restu baginda sultan Kedah. Beliau membukanya sebagai kawasan perdagangan yakni pelabuhan sekitar pertengahan abad ke 18, mendudukinya dan menjadi ketua masyarakat Melayu yang berkuasa di situ.

Justeru beliau mendatangai Francis Light, bertanya apa gerangan beliau mencerobohi kawasannya. Datuk Nakhoda Kecil atau nama sebenarnya Ismail telah membawa sebahagian daripada para pengikut seramai 50 orang mengikut catatan daripada Francis Light sendiri. Kawasan sekitar Tanjong Penaga,Sungai Pinang, Jelutong, Gelugor dan Batu Uban sudah pun diteroka dan diduduki.

Datuk Nakhoda Kecil memerintah dan berkuasa dari Tanjong Penaga hingga ke Jelutong.Manakala daerah berikutnya dikuasai oleh Nakhoda Intan yang juga mempunyai hubungan kerabat dengan beliau iaitu daripada suku yang sama Minangkabau dari Pagar Ruyung Sumatera Barat.

Siapakah Light yang berani memacakkan bendera kerajaan British di dalam wilayah kekuasaan Melayu khususnya kesultanan Kedah dengan sewenang-wenang. Datuk Nakhoda Kecil membuka dan memerintah Tanjong Penaga di atas restu baginda sultan dan telah bettapak untuk satu jangka masa yang lama.

Mereka para nakhoda Melayu yang juga para pedagang telah membuka beberapa pelabuhan di sekitar Pulau Pinang sebelum terbukanya George Town/ Weld Quay.Di antaranya Datuk Nakhoda Intan membuka kawasan Batu Uban yang merupakan pengkalan, pelabuhan dan peiempatan ulung Melayu Minangkabau pada ketika itu.

Catatan peta oleh Kepten Walter Avis pada tahun 1763 mencatatatkan “There is a town”

Bagitu juga dengan kawasan Sungai Pinang telah diteroka dan dihiliri sungainya sehingga ke Masjid Aceh di Kebun Lama berhampiran dengan Datuk Keramat. Kawasan ini merupakan penempatan Aceh. Kawasan Kelawai yang nama asalnya Kuala Awal mempunyai penempatan para saudagar dari Palembang.Wujud sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Palembang.

Datuk Nakhoda Ragam yang telah berulang alik ke sini menamakan Pulau Pinang sebagai Pulau Ke Satu. Dari segi ilmu pelayaran ia merupakan pulau terbesar yang pertama yang ditemui dalam laluan memasuki Selat Melaka daripada sebelah utara.

Siapakah Kepten Lightyang sebenarnya yang kedatangannya telah memadamkan sejarah sebelumnya sehingga sejarah Pulau Pinang dikatakan hanya bermula dengan kedatangannya ke Pulau Pinang pada tahun 1786 ?

Beliau sebenarnya seorang saudagar bebas yang bermukim di Phukit lebih daripada 20 tahun sebelum ketibaannya ke Pulau Pinang. Beliau mahir berbahasa Melayu dan dapat membaca surat-surat Melayu yang pada ketika itu memakai huruf Arab. Beliau sering berulang alik di antara Phuket, pantai Kedah dan daerah sekitarnya untuk berdagang candu dan senjata.Dalam masa yang sama menjadi perisik bagi pihak Thai.

Beliau pernah mendatangi baginda sultan Kedah dan amat memahami situasi pada ketika itu bahawa kesultanan Kedah dalam keadaan yang daif berhadapan dengan ancaman Thai yang menyerangnya secara bertubi-tubi. Situasi pada ketika itu amat memihak kepada Inggeris.Kedah sangat memerlukan bantuan asing . Mengambil kesempatan tersebut Light menawarkan bantuan Inggeris di India.

Light adalah seorang saudagar candu, pembekal senjata, perisik dan pedagang yang mencuba untung nasib mencipta nama di sebelah timur. Beliau yang sering berhubungan dengan sultan amat memahami kehendak Kedah yang memerlukan bantuan senjata dan perlindungan terutama Inggeris yang beribu pejabat di Teluk Benggala. Janji demi janji dibuat untuk menolong Kedah melawan Thai.

Di sinilah bermulanya titik hubungan timbal balik di antara Kepten Light dan baginda sultan. Pada ketika itu beliau didampingi oleh seorang saudagar India Muslim yang lebih awal mempunyai hubungan dagang dengan Kedah dan Pulau Pinang. Beliau ialah Bapu Alauddin Meera Hussein Lebai.

Bapu Alauddin mahir dengan laluan laut dan kuala – kuala sungai. Beliau adalah pedagang lembu dan kerbau dan biasa berhubungan dengan para penduduk di pengkalan-pengkalan di Pulau Pinang. Beliau juga mempunyai hubungan yang akrab dengan baginda sultan. Dengan menggunakan khidmat Bapu Alauddin sebagai wakil yang mendapat kebenaran Sultan Kedah, Kepten Light telah mendarat di pantai Padang kota Lama pada 11 Ogos 1786.

Kepten Light pada ketika itu sebenarnya seorang saudagar sahaja yang tidak mewakili kerajaan Inggeris di India atau kepentingan Syarikat Hindia Timur Inggeris. Beliau hanya menjanjikan bantuan kerajaan Inggeris untuk membantu Kedah.Namun segala janji ini tidak pernah ditunaikan. Adakah pendaratan ini sah dan layak mengatakan Kepten Light sebagai pembuka Pulau Pinang sedangkan pulau ini telah pun dibuka oleh para Nakhoda Melayu .

Beliau sebenarnya perampas Pulau Pinang dengan menggunakan janji dan tipu daya. Sultan yang terpengaruh dengan janji dan bantuan telah menyerahkan Pulau Pinang untuk dijadikan pengkalan dagang dengan bersyarat. Menyedari bahawa baginda telah diperdaya sultan telah mempersiapkan angkatannya di Kuala Perai untuk mengambil balik Pulau Pinang. Pada ketika itu kepten Light dengan bantuan Inggeris EIC telah menyerang angkatan Sultan Kedah terlebih dahulu dan mengisytiharkan kekalahan sultan lalu.Beliau terus mengisytiharkan Pulau Pinang adalah wilayah Inggeris.

Sejarah mesti dikaji semula untuk memperbetulkan faktanya terutama selepas merdeka. Sejarah kita mesti dibebaskan daripada perspektif penjajahan yang apabila berkuasa mengosongkan sejarah, tidak ada apa-apa yang berlaku sebelumnya. Pengisytiharan George Town sebagai bandar raya Warisan dunia mengapa mesti terkongkong dengan skop George Town sebagai warisan British sehingga menenggelam sejarah kita.

Kita telah menobatkan warisan British yang memperdaya kita secara keterlaluan sehingga mengetepikan warisan Melayu yang wujud sebelumnya. Sesungguhnya sebelum George Town telah wujud Tanjong Penaga. Sejarah Tanjong Penaga dan jasa Datuk Nakhoda Kecil mesti dikenang. Ia mesti dihidupkan semula menjadi tapak warisan Melayu sebagaimana wujudnya petempatan rumah di atas air di Jeti yang telah dinobatkan menjadi warisan walau pun baru didirikan di kawasan pelabuhan Pulau Pinang.

Sesungguhnhya Pulau Pinang adalah di dalam wilayah dunia Melayu dan Nusantara. Ia tidak pernah terpisah daripadanya. Sesungguhnya warisan mesti bermula dengan sesuatu yang asli yang bermula di bumi ini bukan yang terasing baginya. Melaka telah bermula dengan warisan Melayu dan diikuti dengan warisan asing. Apakah ini tidak menjadi asas yang kukuh untuk menobatkan warisan Melayu di Pulau Pinang.

Kampung Melayu Tanjong Tok Kong dan Batu Uban tidak dapat tidak mesti dinobatkan sebagai zon warisan secara semula jadi. Kawasan sekitar jeti yang nama asalnya Tanjong Penaga dan kawasan Padang Kota Lama mesti dibangunkan semula menjadi zon warisan Datuk Nakhoda Kecil yang hidup.

Sungguhnya warisan Melayu Pulau Pinang tidak bermula dengan Jawi Peranakan yang hanya terjadi di zaman penjajahan British hasil perkahwinan campur di antara Melayu dengan Arab dan India Muslim. Warisan mesti bermula dengan sesuatu yang asli yang mempunyai akar sejarah yang kuat sebagai yang diungkapkan oleh Datuk seri Utama Rais Yatin ketika memimpin KEKWA Kementerian Kebudayaan dan Warisan Negara

Warisan ialah sesuatu yang diterima secara turun temurun oleh seseorang atau sekelompok masyarakat daripada generasi sebelumnya. Ia menggambarkan memori darpada keseluruhan kehidupan yang melengkapkan ketamadunannya”.

No comments:

Post a Comment