Wednesday, September 15, 2010

Peluang keemasan Untuk PAS

PELUANG KEEMASAN PAS DALAM POLITIK NASIONAL

PAS sebuah gerakan Islam yang mantap, menjadi saingan kepada UMNO selama lebih 50 tahun. Kini parti ini diambang kekuasaan untuk membentuk pola politik Malaysia yang baru. Peluang ini menjelma berkat kesabaran dan kekentalan aqidah; berjuang di atas asas yang betul.Pas kini adalah tonggak pelengkap kepada PR. Tanpanya komponen PR yang terdiri daripada DAP dan PKR akan terjejas. Tidak ada gabungan Melayu-Islam yang padu di dalamnya.

Perkembangan semasa menunjukkan UMNO yang menjadi tunjang BN sangat memerlukan kerjasama dengan PAS untuk meneruskan dominasinya. Umum mengetahui selepas PRU ke 12, UMNO telah kehilangan pengaruh di kalangan bukan Melayu. Kuasa majoritinya di kalangan Melayu –Islam juga terjejas. Lima negeri tumbang, tiga daripadanya dikepalai oleh PAS sebagai menteri besar selepas PRU ke 12.

Kini survival UMNO mulai goyah. Parti itu kehilangan sokongan paksi-paksinya yang utama terdiri daripada MCA, Gerakan dan MIC. Ia amat memerlukan sokongan suara Melayu dan Islam yang padu bagi menolak kemaraan PKR. Tanpa PAS, PR akan kecundang. Besar kemungkinan tanpa kerjasama dengan PAS, cengkaman politik UMNO akan pincang . PAS adalah pelengkap segalanya dan berkecenderungan menjadi peneraju masa depan kerajaan Malaysia.

Peluang keemasan ini harus dipergunakan dengan kemas demi masa depan Islam di Malaysia. Harapan rakyat kepada PAS terutama Melayu Islam amat tinggi dengan syarat PAS jangan sesekali tenggelam dalam gelombang liberalisme yang telah mencairkan pegangan politik kebanyakan para pemimpin Melayu dan Islam. Daripada dasar kebangsaan mereka menjadi korprat yang mementingkan kroni. Pegangan Islam yang mengutamakan syariat menjadi liberalisme yang mencairkan Islam dalam kepelbagaian.

Kajian perkembangan politik semasa menunjukkan PAS adalah penentu keseimbangan politik negara pada masa kini. Jika diteliti ia adalah penentu masa depan politik negara jika pandai menggunakan strategi dan memanipulasikan peluang. Bagaimanakah parti ini harus menjadi pengganti kepada UMNO yang telah kehilangan arah dan menjadi parasit bangsa. Dasar kebangsaan untuk semua telah menjadi momokan dan tinggal kenangan.

PAS harus bertindak sebagai paksi utama dan nakhoda peneraju kepada PR bukannya sekadar penumpang yang mengiyakan sahaja. Politik DAP dan PKR adalah politik sekular ala UMNO juga. Lebih tepat liberalisme ala barat. Jika UMNO memerlukan PAS ia harus mengenakan syarat Islam iaitu pelaksanaan syariat sebagai asas kerjasama. UMNO yang telah lama jauh daripada Islam mesti kembali ke pangkal jalan.

UMNO yang teguh dengan politik pragmatisme telah sampai ke penghujung jalan yang buntu. Dasar federalisme yang dipegang menjadi penguasaan mutlak kerajaan persekutuan yang rakus ke atas negeri-negeri. Hingga ke peringkat dinar emas dan dirham perak pun UMNO hendak menunjukkan kuasa agar parti lain jangan melebihinya. Seolah-olah PAS tidak boleh berbuat sesuatu yang lebih baik daripada mereka. Jadi dimanakah asas untuk bekerjasama seperti yang dituntut Al Quran Tolong menolong dalam berbuat kebaikan bukannya bentu membantu dalam berbuat dosa dan permusuhan.

Sesuatu yang baik untuk Islam daripada sesiapa sahaja mestilah disokong tetapi sikap UMNO mahu mencengkamnya atas nama kerajaan. Politik iri hati ini harus dihentikan jika ingin menjalin hubungan dengan PAS. Mana mungkin ada jalinan kerjasama tanpa langkah-langkah menuju kerjasama iaitu mengiktiraf kebaikan walau pun daripada musuh kita sendiri. Inikan pula PAS adalah suara umat Melayu dan Islam yang ketara melaksanakan tuntutan syariat.

DEB sebagai dasar sosial membantu rakyat ditangan UMNO telah berubah menjadi dasar korprat yang keparat.GLC yang menghimpunkan ribuan bilion diagih-agihkan di kalangan kroni sahaja.Rakyat hanya menumpang bangga dan simpati subsidi sebagai ihsan kerajaan tetapi tidak mempunyai sebarang hak dan peluang untuk memiliki saham-sahamnya. Dasar-dasar warisan Mahathir ini mesti dihentikan untuk membentuk landskap politik baru yang lebih terbuka dan merakyat.

Jika UMNO ingin meraih sokongan PAS dasar –dasar yang lebih liberal amat diperlukan bagi merintis jalan kerjasama demi muslimat dan manfaat Islam. Hak royalti minyak mesti dikembalikan kepada Kelantan. Bantuan kepada sekolah agama rakyat mesti dilunaskan. Dasar PPSMI warisan Mahathir yang bertentangan dengan Dasar Pelajaran kebangsaan peninggalan Tun Razak mesti dilaksanakan dengan segera.

Asas kerjasama mestilah jujur dan jelas. Jangan seperti kata pepatah mulut disuap pisang buntut ditusuk onak. Satu tangan menghulur salam tetapi anggota-anggota yang lain menyepak dan menghentam . Hanya menerusi kerjasama yang ikhlas akan membuahkan hasil.Syarat utamanya ialah Islam dan kembali kepada keredhaan Allah. UMNO yang liat dengan Islam mesti insaf. Sesat dihujung jalan kembalilah ke pangkal jalan.

PAS NAFI AKAR UMBI DI PULAU PINANG

Harapan rakyat kepada parti PAS terutama di P. Pinang sangatlah tinggi. Undi padu dan amanah yang diberi kepada BN- UMNO selama 5O tahun lebih telah dikhianati . Satu demi satu kampung-kampung Melayu tumbang diasak pembangunan. Akibatnya timbul gejala rakyat terpinggir yang kebetulan menimpa umat Melayu Islam. Unjuran jika keadaan begini berterusan, menjelang 2020 Melayu akan hilang daripada Pulau Pinang.

Kemerdekaan yang sepatutnya membawa rahmat telah bertukar menjadi bala apabila kedudukan umat Melayu Islam terumbang – ambing. Tiada jaminan masa depan untuk mereka. UMNO telah meminggirkan Melayu dan menjadikan mereka golongan kelas keempat selepas China,India dan warga asing. Melayu jadi pariah di bumi sendiri.

Melayu tidak ada tanah dan hampir terhakis di sini. Dasar ekonomi kapitalis yang ditinggalkan penjajah diteruskan dengan gembira walau pun memangsakan bangsa sendiri. Jelas di bawah dasar pengkorpratan para pemimpin UMNO terutama ketua-ketua bahagian menjadi agen pemakan komisyen.Mereka menjadi perantara kepada syarikat-syarikat untuk mengeluarkan Melayu daripada kampung halaman mereka.

Begitu juga dengan peranan agensi seperti UDA yang asalnya perbadanan telah berubah menjadi komersial seratus peratus. Mereka tidak ada niat untuk membela rakyat apabila berhadapan dengan tuntutan korparat. Tanah-tanah yang diperolehi dengan harga yang murah atas nama kerajaan dan usaha mempertingkatkan sosio ekonomi Melayu telah dijual untuk dimajukan swasta. Kepentingan rakyat dihilangkan dengan sengaja.

Lihatlah apa yang sedang berlaku di Tanjong Tok Kong dan Jelutong. Rakyat terus dipinggir.Tidak ada peruntukan yang turun untuk mereka. Adalah amat pelik sesudah 9 RMK rakyat terus terabai. RMK ada, dana banyak,janji –janji berhamburan tetapi nasib rakyat terus terpinggir di antara bangunan –bangunan mewah. Kerajaan asyik membina pencakar langit manakala nasib rakyat mencakar bumi.Rakyat tidak dipedulikan lagi.

Ironinya Melayu jadi lebih parah selepas era penjajahan. Dulu mereka bertempat dalam bandar.Kini telah diasak keluar. Tidak ada lagi petempatan yang selamat untuk mereka. P.Pinang satu-satunya negeri yang tidak punya Malay Reserve.Tidak ada satu kawasan yang boleh dikatakan habitat penempatan Melayu yang kekal. Dasar liberal yang leluasa diteruskan tanpa halangan. Tanah dikiri kanan masjid juga boleh dijual kepada sesiapa sahaja. Akibatnya masjid kehilangan kariah.

Kes di masjid Jelutong dapat dijadikan sandaran. Hendak menambah tanah perkuburan yang sempit pun bermasalah. Tanah perkuburan ini tidak mengalami pembesaran selama ratusan tahun. Keperluan fardhu kifayah dan muamalah hampir terabai daripada agenda para pimpinan PAS negeri.Rakyat jadi keliru dengan hala tuju perjuangan mereka. Apa sudah jadi ? Cakap tidak lagi serupa bikin. Dulu menghukum UMNO sebagai pengkhianat. Kini PAS jadi bungkem dan buntu walau pun mengusai MAIPP.

Kempen negara berkebajikan telah menjadi retorika kosong sama seperti UMN0 yang mewar-warkan I Malaysia rakyat didahulukan pencapaian utamakan. Hakikatnya rakyat terus terhimpit. Dulu BN – UMNO memangsakan mereka. Kini PR meneruskan dasar kapitalis yang rakus. PAS pula asyik mempertahankan kerajaan negeri. UMNO pula meghukum mereka.padan muka kerana mengundi pembangkang. Rakyat terkepit jadi mangsa dengan nyata. PAS tidak boleh terlalu terikat dengan kerajaan negeri dan mesti tegas apabila rakyat dianiayai. Mereka bangkit kerana sedar dengan nasib umat.

Rakyat terus terhimpit dengan kenaikan harga barangan. Mereka dikenakan bil –bil dan cukai yang tinggi.Sehingga kini taraf gaji minima seperti terlalu sukar dilaksanakan. Negara kebanjiran warga asing yang merampas peluang kerja rakyat tempatan. Semua masalah ini menuntut kepekaan PAS yang dulu sangat aktif berdemonstrasi. Kini berlaku anti klimaks apabila PAS yang berhadapan tunjuk perasaan terutama rakyat menuduh mereka alat BN. Tidak bersuara dikatakan pengecut.Bila bersuara mereka pula dicemuh.

PAS sebagai gerakan massa mesti melaksanakan tuntutan negara berkebajikan dalam skala kecil.Sekurang-kurang bekerjasama dengan NGO untuk menyelami kehendak akar umbi. Apakah tidak ada upaya untuk melaksanakan tuntutan rakyat berhadapan dengan glombang ekonomi kapitalis yang tidak mengenal batas kemanusiaan hanya kebendaan semata-mata. Tekanan daripada PAS dan NGO atas nama rakyat akan menggentarkan DAP yang lupa diri dan PKR yang terlalu liberal. Mereka perlu disedarkan agar peka.

Usaha mempertahankan kariah adalah satu tuntutan syariat. Rakyat. Di P.Pinang Melayu hilang kariahnya. Kita pun tidak pun gelisah. Di banyak tempat penempatan kariah hilang begitu sahaja secara beransur-ansur. Yang tertinggal hanya masjid tanpa penduduk terutama di kawasan pusat-pusat bandar. Adakah keadaan begini yang berlaku kerana ketidakpedulian UMNO akan diteruskan oleh PAS yang perihatin nasib umat ?

PAS bukan sekadar parti berideologi. Ia adalah gerakan Islam contoh yang mengkhidmati rakyat. Ia mesti ada pendirian.Ada perkara yang kita boleh bertolak ansur tetapi tidak semuanya. Dalam hal ini dasar DAP dan PKR yang terlalu liberal tidak harus menjadi ikutan PAS secara melulu. Memang PKR tidak mengutamakan Melayu iaitu rakyat terpinggir. Hendak mempertahankan Pasar Ramadzan pun tidak mampu. Apa lagi agenda yang lebih besar. Mereka tenggelam usaha ke Putra Jaya tanpa menabur jasa.

Para pemimpin Melayu dalam PR P.Pinang mudah berubah sikap. Mereka seperti tidak ada tulang belakang untuk menolong rakyat. Program yang mereka gemari ialah sekadar bantuan ala kadar untuk mempopularkan diri dan parti. Mereka yang baru berkuasa tidak sampai tiga tahun telah kehilangan arah. Para pemimpinnya terbenamm dalam urusan kerajaan sehingga tidak ada masa menyelami dan membela nasib rakyat. Dahulu mereka adalah jaguhnya sebagai strategi untuk mendapat kuasa.

Sepatutnya dalam keadaan genting ini PAS harus menjadi lebih terbuka. Ia harus merintis kerjasama dengan UMNO demi muslihat umat. Dalam melaksanakan kebajikan tentu masih ada jalan untuk menjalin hubungan. Adakah dalam perkara melaksanakan kebajikan pun kita mesti bermusuhan. Bentuk kerjasama boleh dirintis demi untuk memartabatkan Melayu dan Islam yang serba ketinggalan di P.Pinang.

Tun Abdullah mantan PM yang mempunyai banyak pengaruh harus mengorak langkah dengan pimpinan PAS. Beliau kini tentu mempunyai masa yang banyak untuk menumpu secara khusus dalam menjalin kerjasama terutama dikalangan praksi-praksi Islam yang bertentangan. Ini merupakan amal jariah beliau yang amat dialu-alukan.

Banyak agensi yang yang memiliki dana yang besar seperti Khazanah Nasional, Baitul Mal, PUZ, agensi-agensi Persekutuan harus bergerak membantu rakyat yang perlu dibantu. Di zaman Tun Razak kerajaan berjaya menggerakkan agensi-agensinya dengan berhempas pulas untuk menolong rakyat.

Keadaan sekarang lebih mewah dan PAS mesti mengusahakan jalan mengotakan konsep negara berkebajikan yang diwar-warkannya dengan menggunakan dana –dana rakyat yang dipegang oleh kerajaan.Peruntukan ini tetah digunakan dengan leluasa untuk tujuan politik terutama semasa pilihanraya. Hak rakyat untuk menerima peruntukan terutama di P.Pinang telah dinafikan. Mereka terbiar kerana tidak dibantu.

PAS harus mengambil peluang menonjolkan diri sebagai pembela rakyat dan pemain politik yang bijak. Di P.Pinang jika kita terlalu terikat dengan kerajaan negeri, rakyat akan menjadi mangsa. Kita menyokong mereka kerana mereka membantu kita.Jika mereka mengutamakan kaum tertentu sahaja dan zalim terhadap rakyat yang lain, kita mesti memperbetulkan. Suara rakyat sebagai suara keramat mestilah dibuktikan untuk diambil oleh kerajaan negeri melalui saluran parti.

Populasi Melayu di P.Pinang terutama di bandar raya kian merosot. Tidak ada penyertaan Melayu yang bermakna dalam perkembangan ekonomi. Tanah milik Melayu hampir tiada. Kalau ada pun cebisan yang tertinggal ialah tanah-tanah wakaf. Itu pun hendak dimajukan untuk tujuan komersial.Kini PAS lah yang menguasai Majlis Agama bersama dengan PKR. Mesti ada agenda yang berkesan untuk melestarikan muamalah Islam.Bukan sekadar menjalankan pentadbiran. Wakaf mesti kekal wakaf.Inilah amanah.

Hampir tidak ada penambahan kawasan untuk penempatan rakyat yang sangat memerlukan perumahan. Rata-rata projek yang dibina dengan ghairah ialah hotel,perumahan mewah,premis perniagaan, padang golf, resort, marina,kondo mewah dan pusat-pusat pelancongan. Segalanya berasaskan komersial. Keadaan ini mesti diseimbang di antara tuntutan sosial dan komersial, projek korprat dan rakyat.

PDC sebuah agensi kerajaan negeri terus membina rumah berjuta ringgit di atas tanah tebusguna laut yang menjadi milik kerajaan. P.Pinang kekurangan tanah tetapi bungalo mewah dibina dengan megah.Itu pun untuk pasaran terbuka bagi menarik kedatangan warga asing membeli rumah kedua di P.Pinang. Gaya BN yang pro korprat telah diteruskan dengan giat. Keadaan nampaknya tidak berubah antara BN dan PR.

Gaya ekonomi bebas yang kurang kepedulian terhadap nasib rakyat bawahan nampaknya sedang diteruskan oleh PR di P.Pinang. Langsung tidak ada agenda rakyat yang berkesan. Sedangkan usia pemerintah telah memasuki tahun ke tiga. Umar Abdul Aziz yang kononnya dijadikan model, hanya mengambil masa dua setengah tahun sahaja untuk membela nasib rakyat. Beliau tidak sahaja bercakap tetapi mengotakannya dengan cekap.

Keghairahan kerajaan negeri amat ketara apabila bertindak meruntuhkan gera-gerai rakyat yang mencari rezeki secara halal dan ala kadar. Disebabkan daif, mereka membina gerai-gerai di sudut sudut jalan yang berlebihan.Itu juga dilakukan oleh para peniaga berbagai kaum terutama di Batu Feringhi.Namun tidak diambil tindakan pun.

Tindakan yang keras telah pun dilakukan secara konsisten terhadap rakyat walau pun premis perniagaan tidak mengganggu lalu lintas. Kafe Doremi yang begitu kreatif telah menjadi mangsa yang bertalu-talu. Hatta hendak meletak pondok berniaga pun tidak boleh.Sedangkan premis bungalo yang membina pagar batu di atas tanah pantai akses kerajaan dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan. Jelas double standardnya.

Kerajaan negeri juga berdiam diri apabila penghuni Villa Ria menebang pokok-pokok rendang puluhan tahun. Hanya kerana pokok-pokok tersebut menghalang pandangan mereka yang memandang ke pantai. Kehijauan pokok –pokok yang menghiasi pantai dan memberi keteduhan kepada orang awam yang mengunjunginya hilang dalam sekelip mata. Sedangkan slogan kerajaan negeri mengutamakan kehijauan. Mengapa didiamkan.

Semasa kekuasaan BN, PAS menilai tindakan meroboh premis –premis rakyat sebagai zalim apabila Khir Toyo meruntuhkan gerai dan surau terutama milik para penyokong pembangkang. PAS menjadi juara yang membela mustadhafin menentang kekuasaan mustakbirin. Mengapa apabila kerajaan negeri bertindak ke atas premis rakyat miskin PAS membisu. Sikap PAS yang konsisten membela rakyat telah tercalar apabila cakap tidak serupa bikin. Kini parti itu sedang diuji sejauh manakah kepekaannya.

Amat malang apabila tidak ada para pemimpin PAS yang tampil untuk membela. Sekurang-kurang menegur ketelanjuran DAP yang amat rakus ini. Pendirian seperti ini yang meniru sikap para pemimpin UMN0 yang bertindak sebagai rubber stamp amat dikesali rakyat. Yang terkena ialah rakyat bawahan. Mereka kata PR adalah kerajaan pro rakyat bukannya pro korporat. Mengapa mereka mudah berubah apabila berkuasa.

Tebusguna laut di hadapan pantai Tg Tokong seluas 1000 ekar langsung tidak memperuntukkan bahagian untuk rakyat mengatasi masalah kepadatan penduduk di kawasan berhampiran yang sekian lama telah diabaikan UMNO–BN sepanjang pemerintahannya. Kajian rambang menunjukkan hampir 1500 kelamin tiada berumah di kawasan Tg Tokong.Ini adalah satu tuntutan bukannya bebanan kepada kerajaan negeri .

Akibatnya mereka terpaksa membina rumah di tepi laut. Adakah mereka akan dilayak atas alasan menceroboh tanah kerajaan.Sedangkan kerajaan tidak menunaikan tanggung jawap sosialnya untuk membina penempatan yang mencukupi untuk keperluan rakyat. Penempatan yang selaras dengan kemampuan rakyat. Jika Singapura sebuah pulau kecil berupaya membina perumahan rakyat yang mencukupi mengapakah kita tidak mampu?

Kerajaan mesti kembali kepada fungsinya yang asal iaitu sebagai penanggung jawap sosial rakyat bukannya menjadi syarikat korprat yang terbesar untuk mengaut keuntungan semata-mata. Agensi-agensi seperti MPPPP kini lebih ketara peranannya untuk menyaman dan mengutip hasil. Tanah kepunyaan MPPPP langsung tidak dibangunkan lagi untuk fungsi sosial seperti perumahan dan projek untuk menangani masalah rakyat.

Hampir tidak terdapat peranan sosial yang boleh melegakan rakyat. Kesesakan jalan raya berterusan.Tempat parking amat berkurangan. Saman meningkat. P.Pinang dipenuhi terlalu banyak bangunan lama yang uzur yang menghalang proses pelebaran jalan dan parit serta membuka ruang untuk re unbinasation / proses membandarkan semula.Gerai-gerai lama dibiarkan memburuk tanpa ada cetusan idea membina semula bagi membuka ruang dan peluang perniagaan kepada rakyat. Contohnya seperti keadaan di Padang Brown yang terus lusuh dan kotor. Sisa peninggalan BN harus dibiarkan begitu sahaja.

Di zaman penguasaan kerajaan Front Sosialis yang menguasai Majlis Perbadaran George Town terlaksana projek perumahan rakyat seperti di Sungai Pinang dan Kampung Herriot. Masalah perumahan rakyat yang paras telah di atasi. Kini di bawah DAP yang diwar-warkan cenderung kepada sosialisisme iaitu mengutamakan kebajikan rakyat, agenda rakyat yang nyata hampir tidak kelihatan .Yang terdengar ialah suara –suara bahawa kerajaan tidak lagi akan membina rumah-rumah kos rendah untuk rakyat . Mengapakah sampai ke tahap begitu ? Bolehkah kerajaan melupuskan tanggung jawap sosial begitu sahaja dengan menjadi P.Pinang hanya sesuai bagi golongan kaya –mewah.

Meninjau keadaan Melayu P.Pinang kebanyakan mereka hanya menjadi pengawal keselamatan, pekerja rendahan dan kaki tangan kerajaan. Dari segi petempatan, habitat Melayu kian menghilang. Petempatan mereka digempur sengit hasil perkembangan ekonomi komersialisme yang rakus. Ruang untuk rakyat makin terhimpit. Ditambah dengan kebanjiran warga asing yang membeli rumah kedua di kondo dan rumah mewah.

Gelombang komersialisme yang digerakkan oleh sistem ekonomi bebas akan meninggalkan orang Melayu dalam kenangan. Perkara ini amat ketara apabila kita melihat di George Town. Wajahnya tidak ubah seperti Taiwan, Hong Kong dan Macao.

Penguasaan kaum China amat ketara. Langsung tidak ada usaha untuk mengimbanginya.

Hakikatnya PAS bukan komponen yang membentuk kerajaan PR di P.Pinang. Ia hanya memenangi 1 kerusi sahaja. Kesempatan ini membuka peluang kepadanya menjadi suara yang lantang untuk menegur PR supaya tidak bertindak seperti BN yang tidak pedulikan nasib rakyat. Inilah kesempatan untuk PAS menggerakkan jenteranya bagi memenangi hati rakyat. Inilah peluang keemasan untuk parti itu menggantikan dan mengambil alih peranan UMNO yang amat cuai di P.Pinang. Pinta dan peluang terbuka.

Namun perkembangan menunjukkan PAS di P.Pinang kini nampaknya menjadi musuh kepada NGO yang kritikal dan amat tidak peka dengan suara akar umbi terutama rakyat yang menggapai pertolongan . Ia amat bersemangat untuk menjaga dominasi DAP sebagai tonggak PR. Ia amat perihatin pada isu bukan Melayu. Apabila para peniaga digempur agensi-agensi kerajaan persekutuan seperti kastam dan Kementerian Perdagangan dan Pengguna PAS di Batu Feringhi para pemimpin PAS begitu sensitif.

Rakyat sangat mengharapkan PAS yang kebetulan lahir di P.Pinang bangkit membela rakyat yang terperangkap sama ada oleh BN atau PR. PAS adalah gerakan massa yang mejadi harapan kerana ia berlandaskan petunjuk Ilahi dan akhlak Rasul. Al Quran telah berpesan ”Apabila diberi kekuasaan jangan berbuat kesewenangan dan menjadi kekayaan hanya berlegar-legar disekitar satu golongan sahaja”. Adakah suara akar umbi ini difahami para pemimpin di ambang kuasa.Mesej ikhlas telah pun disampaikan.

Oleh Mohd Salleh Yahaya( e mail mohdsalleh.yahaya@gmail.com

Pengerusi NGO Persatuan Penduduk Kampung Tanjong Tok Kong

10470 Pulau Pinang

Isnin 17 Ogos 2010/5 Ramadzan 1431.

No comments:

Post a Comment