Wednesday, September 15, 2010

GAGASAN 1 MALAYSIA ANTARA RETORIKA DAN KENYATAAN ?

SERUAN 1 MALAYSIA menjadi agenda terpenting PM Najib Tun Razak. Usaha membudayakannya dibuat dengan hebat. Media rasmi memulakannya dengan Salam 1 Malaysia, melancarkan Saham 1 Malaysia, membuka Klinik 1 Malaysia dan berbagai langkah lagi.Matlamatnya untuk menjadikannya ikon baru pemersatu rakyat Malaysia. Kini setelah diprogramkan dengan deras, seruan ini mulai menerima asakan dan kritikan. Datangnya daripada para penganalisis, pemimpin politik dan rakyat. Ia malah dipersoalkan di kalangan para penyokong UMNO sendiri menerusi NGO Perkasa. Mereka gusar ia mengancam dan mengganggu gugat ketuanan Melayu. Rakyat yang muak dibuai dengan berbagai retorika, wajar mempersoalkan ke manakah halatuju negara hendak dibawa. Setelah 50 tahun lebih merdeka, Malaysia masih bergelumang dengan problema asasi seperti perpaduan, sistem pendidikan yang bercelaru dan jurang sosio ekonomi yang kian melebar.Ternyata jurang ekonomi sangat ketara di antara elit politik dan ekonomi yang berkuasa dengan rakyat biasa. Rakyat masih kabur dengan halatuju negara. Ironinya 1 Malaysia tetapi 16 September tarikh penubuhan Malaysia bukan sahaja diabaikan malahan digeruni pula !

Memang telah menjadi kelaziman para PM sebelumnya memulakan tugas dengan seruan yang menggambarkan tekad dan halatujunya. PM Najib yang mewarisi politik bermasalah, kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen dan beberapa negeri kepada PR. Beliau memerlukan suatu pemacu hebat untuk menggerakkan rakyat, menyokong semula BN atas nama negara. BN juga telah kehilangan sokongan bukan Melayu dalam PRU ke 12. Justeru beliau amat memerlukan formula ajaib buat mengungguli bahawa beliau adalah jaguh pembela rakyat sebagaimnana ayahandanya Tun Razak. Jadi pendekatan merakyatkan segalanya mesti diutamakan. Jadi seluruh jentera,media dan dana mesti dikerah untuk menjayakan 1 Malaysia. Di Malaysia apa pun yang dilakukan tidak terpisah dari politik demi untuk memperkukuhkan kuasa. Langkah ini akan menetukan survival BN di Malaysia. Jika tidak riwayat BN mungkin akan berkubur diasak PR. Mengenai ini Prof Chandra Muzaffar telah berkata bahawa yang lama mesti pergi tetapi masalahnya yang baru belum muncul lagi ? Mungkin mengambil kesempatan daripada situasi ini , beliau mengetengahkan perubahan 1 Malaysia. Mengapa harus mengubah kerajaan apabila dasar-dasar kerajaan telah berubah ke arah pro rakyat.

Di awal pemerintahan PM Mahathir negara sarat dengan bermacam slogan seperti ”Bersih Cekap Amanah”, Dasar Pandang ke Timur, Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Penswataan dan bermacam lagi . Kesannya rakyat terpukau dan beliau dapat bertahan beberapa penggal sehingga tahun 1990. Selepasnya beliau mulai bermasalah. Dasar-dasarnya dipersoalkan dengan berani dan terbuka. Kemuncaknya beliau terpaksa berundur apabila BN menerima pukulan hebat pada PRU ke 10. Soalnya adakah rakyat akan terpengaruh lagi dengan seruan yang muluk dengan menggunakan kata-kata keramat. Malaysia telah membelanjakan wang pembayar cukai yang menelan kos ribuan juta ringgit semata-mata untuk slogan dan seruan. Para penganalisis politik telah muafakat bahawa kuasa yang mutlak yang dibolot dengan rakus pasti menyebabkan penyalahgunaan kuasa yang mutlak juga. Justeru demokrasi tanpa rakyat yang celik akan pincang. Rakyat harus menjadi penilai dan pelengkap kepada hidupnya demokrasi.Mereka tidak boleh menjadi Pak Turut lagi. Dalam hal ini NGO harus bersuara sejauh mana 1 Malaysia menggambarkan semangat 1 Malaysia demi untuk keadilan semua. Banyak sektor di mana nasib rakyat tidak dipedulikan dalam kehidupan seharian dan hanya terserlah apabila menjadi isu politik dan menjelang pilihanraya.

Mengenai ini Pramoedya Anata Toer telah berkata apabila seruan yang datang daripada pihak atasan dan diterima secara bulat oleh rakyat itu tandanya bukanlah demokrasi yang diamalkan. Gejala ini menunjukkan feudalisme masih bersarang kuat dan menjadi anutan dan panutan secara membuta-tuli. Proses demokrasi pasti terbantut. Luarannya demokrasi tetapi dalamannya ialah feudalisme. Jadi rakyat perlu celik dengan demokrasi supaya mereka tidak menjadi alat semata-mata. Rakyat yang tercengkam menuntut pembebasan dengan reformasi dan perubahan dalaman yang ketara. Perubahan dalam berbagai bidang terutama demokrasi,ekonomi dan keadilan yang dibolot oleh BN dan para konco-konnya sahaja. Cetusan daripada penolakan terhadap kebobrokan BN terjelma dalam PRU ke 12. Bahawa hasil negara melimpah ruah tetapi rakyat terpaksa menanggung kadar cukai yang pelbagai dan kos hidup yang kian tinggi. Ini ditambah dengan GST lagi.

Seruan 1 Malaysia Rakyat Didahulukan dan Pencapaian diutamakan bermuasal dari mana dan benarkah intipatinya sebagaimana yang diwar-warkan. Kata-kata tentu tidak boleh menjadi mukdijat yang menjelmakan realiti dalam sekelip mata. Ianya adalah azam dan tekad sahaja sebagaimana Tun Razak yang berjaya mengangkat harakat bangsa Melayu menerusi pendidikan dan pencapaian ekonomi menerusi pelaksanaan DEB. Apa yang dihasrat dan disasarkan beliau telah menjadi kenyataan. Terutama lahirnya kelas ekonomi Melayu yang berkuasa ke atas sejumlah GLC. Juga kejayaan Felda yang menjadi estet paling luas di dunia. Adakah Najib dapat mengulangi kejayaan ayahandanya menerusi dasar 1 Malaysia di mana tahap ekonomi rakyat yang melarat dapat ditingkatkan setaraf seperti negara yang asalnya miskin seperti Holand, Switzerland dan Denmark . Negara –negara tersebut meski pun jauh miskin sumber hasil alamnya berbanding dengan Malaysia tetapi berjaya mencipta kemakmuran. Mereka berjaya mengagihkan kekayaan dengan adil kepada rakyatnya. Hasilnya timbul konsep negara berkebajikan”Welfare State”. Yang diperjuangkan PR. Mampukah 1 Malaysia dengan rakyat didahulukan mencontohinya. Kini rakyat dibebani dengan berbagai bil menerusi konsep persyarikatan Malaysia warisan Mahathir yang diteruskan dengan istiqamah oleh Najib.

Mampukah I Malasia PM Najib mengagihkan kekayaan negara secara menyeluruh terutama kekayaan yang terkumpul pada GLC - GLC. Konglomrat yang memiliki aset berbilion ringgit. Asalnya hasil daripada modal kerajaan yang dipungut daripada wang para pembayar cukai. Sehingga kini nikmatnya hanya dibolot segelintir elit ekonomi yang dekat dengan pemerintah. Rakyat boleh berbangga dengan tahap kemakmuran negara tetapi limpahan kekayaan tidak dinikmati secara adil. Pembangunan negara tidak bererti pembangunan untuk semua rakyat jelata. Di atas kertas KDNK nya hebat. Itu sekadar angka sahaja. Mampukah 1 Malaysia menerjemahkannya dalam bentuk realiti. Malaysia adalah pengeluar kelapa sawit nombor 1 di dunia tetapi rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi untuk membeli keperluan asas tersebut. Kekayaan Malaysia seperti tidak ada kena mengena dengan kehidupan rakyat yang masih menerima kadar upah yang sangat rendah. Kos belajar di universiti pun terpaksa ditanggung oleh rakyat dengan harga yang mahal. Sebelum bekerja rakyat Malaysia dibebani hutang berpuluh ribu ringgit. Jadi 1 Malaysia mampukah mengangkat taraf hidup rakyat keluar daripada berbagai bebanan ekonomi yang kian menghimpit.

Para pemimpin PR mengatakan gagasan tersebut dipinjam daripada Israel semasa Ehud Barak ketika menjadi PM . Jika benar apa yang dikatakan itu bermakna PM Najib tidak mempunyai idea yang asli dalam menggagaskan sesuatu untuk negaranya sendiri. Hujah itu boleh ditolak mentah. I Malaysia tetap 1 Malaysia, ia sekadar satu jenama. Perkara yang utama ialah semangat dan intipatinya iaitu “Rakyat didahulukan apabila halatuju negara disasarkan untuk kebajikan rakyat semata-mata. Segala perancangan dan pelaksanaan ditujukan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat bukannya golongan korprat seperti sebelumnya sehingga mewujudkan budaya kronisme. Pun begitu liputan 1 Malaysia masih boleh dipersoalkan lagi dari segi layanan kepada negeri-negeri yang menganggotai Persekutuan Malaysia. Secara terang negeri-negeri Malaysia Timur mendapat habuan peruntukan yang besar, sedangkan negeri-negeri Pakatan Rakyat dipinggirkan. Sabah dan Sarawak mendapat royalti minyak sedangkan Kelantan dinafikan haknya. Lebih menonjol lagi sektor bandar di mana nasib rakyat terus terpinggir seperti yang berlaku ke atas Melayu P.Pinang. Mereka terus terabai tanpa pembelaan dari RMK 1 hingga 9. Berpuluh tahun jeritan mereka ditulikan dan dibutakan daripada perhatian kerajaan menyebabkan timbul gejala rakyat terpinggir selepas 52 tahun merdeka. Sektor –sektor ini mesti dilihat kerajaan jika 1 Malaysia benar – benar mendahulukan rakyat. Jika tidak ia hanya sekadar agenda politik untuk meraih sokongan kerana kuasa.Wang rakyat telah dibazirkan untuk tujuan politik sahaja.

Senang juga untuk kita mengatakan gagasan itu dipinjam daripada idea Lee Kuan Yew dengan anjurannya Malaysian Malaysia. Boleh jadi juga ia disambar daripada dasar DAP untuk menarik sokongan pengundi China bahawa kerajaan telah melaksanakan agenda mereka dengan menolak ketuanan Melayu. Besar kemungkinan ia lanjutan daripada konsep Malayan Union yang dicetuskan penjajah British untuk membentuk sebuah negara bangsa Malayan kini Malaysian . Sedangkan gagasan itu ditentang oleh UMNO untuk memperjuangkan hak Melayu yang serba daif dan ketinggalan di tanah airnya sendiri. Adakah PM Najib kerana terhimpit dan menyelamatkan survival politiknya mahu meruntuhkan segala yang bersifat Melayu dan kebangsaan semata-mata untuk menonjolkan bahawa beliau pemimpin Melayu yang paling liberal mengatasi Anwar Ibrahim ? Justeru semuanya diliberalkan sebebas-bebasnya walau pun terbabas daripada landasan dan dasar perjuangan UMNO dan kehendak orang Melayu.

Maka 1 Malaysia ialah jenteranya bagi meliberalkan segala-gala yang UMNO mempertahankan mati-matian demi untuk survival Melayu. Jika ini benar nampaknya Melayu dan kepentingannya terancam di bumi Malaysia. Mereka golongan yang terpaksa dikorbankan menerusi gagasan 1 Malaysia sedangkan semangat 1 Israel memperkasai bangsa dan negara Yahudi.Mereka sensitif terhadap hak bangsa dengan mengumpul Yahudi seantero dunia untuk mengasak dan menggasak penduduk asal Arab di Palestin. Jika 1 Malaysia meniru semangat yang baik daripada 1 Israel ia harus mengumpulkan seramai mungkin umat Melayu yang gemilang daripada seluruh alam nusantara. Matlamatnya supaya Malaysia muncul menjadi negara muslim nombor 1 di dunia. Semangat yang baik walau dari mana wajar ditiru dan tidak salah sebagaimana yang dilakukan negara Jepun yang meniru teknologi barat secara kreatif.

Banyak lagi yang boleh dihujahkan. Adakah gagasan tersebut untuk rakyat, untuk Malaysia atau untuk siapa? Apakah agenda yang tersirat disebaliknya. Tidak kira gagasan itu dipinjam dari mana. Asalkan ia menyeluruh dan benar, rakyat masih boleh menerimanya. Al Quran juga menggariskan iaitu orang yang beriman ialah yang mendengar semua pandangan dan mengambil yang paling baik.Terdapat pandangan ulama yang mengatakan hikmah iaitu kebijaksanaan yang hilang daripada milik asal orang-orang Islam. Di mana sahaja kita menemuinya tidak salah untuk kita mengambilnya semula. Mengenai ini mengapa Najib tidak menimbanya daripada Al Quran yang sarat dengan pengajaran. Betapa Allah berfirman bahawa apabila diberi kekuasaan usah berbuat kesewenangan dengan menjadikan kekayaan itu hanya berlegar-legar di kalangan satu golongan sahaja dan hendaklah berbuat keadilan supaya nikmat kekayaan dikecapi dengan merata oleh semua. Allah memberi amaran bahawa pemimpin yang menjadikan kekayaan negara hanya berlegar-legar di kalangan kroni sahaja nescaya akan dilebur dalam azab api neraka. Oleh itu yang dikata mesti dikota supaya cakap serupa dengan tindakan. Firman Allah dalam surat al Saf (Barisan) berbunyi

Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat ? Amat besar kebencian Allah kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam barisan yang teratur seolah-olah mereka struktur yang teguh.

No comments:

Post a Comment