Wednesday, September 15, 2010

POLITIK BAHASA UMNO –BN

PPSMI LAWAN DASAR PELAJARAN KEBANGSAAN

Sejak awal para pemimpin UMNO dididikan Inggeris di MCKK mengkelan untuk melaksanakan BM dalam sistem pendidikan negara secara menyeluruh. Para pejuang bahasa terutama guru-guru Melayu, terpaksa berhempas pulas membawa usul penubuhan sekolah menengah Melayu dalam persidangan agung UMNO sebelum merdeka.Mereka mendesak UMN0 jangan lari daripada tujuan asal memartabatkan BM yang terhasil daripada Kongres Bahasa Melayu 1,2 dan 3 dan dimaktubkan dalam Penyata Razak.

Namun terbukti intelegensia didikan barat tetap menentang dan mengekalkan pemujaan keterlaluan terhadap BI. Malahan mereka menghantar anak-anak mereka keluar negara untuk bersekolah Inggeris di sana. Mereka menentang usul memartabatkan BM dan hanya akur setelah undian menentangnya kalah dalam persidangan UMNO 1956.

Terima kasih kepada guru-guru Melayu terutama Cikgu Mohd Nor Ahmad kerana tegas ketika berhadapan dengan intelegensia didikan barat yang diketuai Tengku Abd Rahman,Tun Razak dan Tun Dr Ismail. Namun pelaksanaan melaksanakan BM diserah kepada Khir Juhari seorang yang liberal dan kurang mesra dengan guru –guru Melayu.

Ternyata pelaksanaannya dilambatkan. Akibatnya guru-guru Melayu bingkas membantah.Mereka mengugut meletakkan jawatan jika kerajaan masih berdolak dalik tentang dasar bahasa. Disebabkan kecewa dengan janji-janji politik, guru-guru Melayu telah meletakkan jawatan secara beramai-ramai daripada UMN0. Akibatnya UMNO kalah di Kelantan dan Terengganu dalam PRU 1959 kerana dasar bahasa yang longgar.

Dasar memantapkan BM diteruskan dengan perlantikan Rahman Talib sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1960. Beliau mengukuhkan BM dengan mengeluarkan satu penyata iaitu penyata Rahman Talib. Tokoh ini tidak bertahan lama apabila terpaksa meletak jawatan pada tahun 1964 dan Khir Juhari menjawat semula sebagai Menteri Pelajaran sehingga tahun 1969. Dasar bahasa sekali lagi terumbang ambing sehingga 1969.

Para pelajar SPM keluaran BM menjadi saingan kepada MCE .Ternyata nilai pasaran BM merosot apabila ramai keluarannya tidak diterima dalam sektor pekerjaan. Pelaksanaan Penyata Razak dan Rahman Talib tidak menyeluruh apabila sekolah menengah Inggeris dikekalkan malahan menjadi pilihan utama. Terdapat sekolah-sekolah Melayu terutama di Pulau Pinang yang ditutup kerana kekurangan pelajar pada 1960an.

Pelaksanaan BM di peringkat sekolah amat mengecewakan sepanjang 13 tahun merdeka walau pun para pejuang bahasa sentiasa memantau pelaksanaannya. Ini sentiasa menghantui UMNO. Menteri Pelajaran ketika itu telah mengeluarkan subjek Jawi daripada pendidikan sekolah kebangsaan; sesuatu yang dikekalkan Inggeris sepanjang tempoh penjajahan. Keunggulan BM yang memiliki dua sistem tulisan yang sama kuat dari timur iaitu tulisan jawi dan satu dari barat iaitu tulisan rumi telah diabaikan.

Selepas 13 Mei 1969 Tun Razak, PM kedua mengumumkan sistem pendidikan akan kembali sepenuhnya kepada kehendak asal Penyata Razak. Menerusi Menteri Pelajaran Abdul Rahman Yaakub kerajaan menukar Sekolah Ingerís menjadi Sekolah Kebangsaan bermula pada tahun 1970. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang selaras dengan perlembagaan pun dituntaskan. Menteri Pelajaran mempunyai kuasa untuk menutup sekolah – sekolah Tamil dan China selepas tempoh 20 tahun tempoh penyesuaian untuk diselaraskan dengan kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan

Secara beransur-ansur seluruh sistem pendidikan akan menggunakan BM sebagai bahasa pengantar menjelang 1990. Dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti akan dikebangsaankan . Ternyata sistem ini berjaya menyeragamkan sistem pendidikan kita yang dipisah-pisahkan sehingga 1969. Perangkaan tahun 2000 menunjukkan ratusan ribu graduan terhasil daripada kejayaan memartabatkan BM daripada IPT tempatan.

Malahan lebih ramai graduan telah dijana daripadanya berbanding dengan sistem penjajah Inggeris dan 13 tahun selepas kemerdekaan ( 1957-1970). Dalam jangka masa 30 tahun(1970-2000) kita dapat lihat ramai graduan perubatan, kejuruteraan, teknokrat dan profesional yang terhasil daripada universiti –universiti tempatan yang menggunakan BM sebagai pengantar. Namun BI tetap tidak diabaikan sebagai bahasa ilmu , bahasa perdagangan dan perhubungan antara bangsa.

Malangnya sistem yang berjaya ini telah direncatkan oleh kerajaan di bawah pimpinan PM Mahathir Mohamed secara mengejut. Beliau mengumumkan pelaksanaan PPSMI menjelang 2003. Beliau yang tanpa berunding dengan sesiapa pun melainkan dirinya sendiri memaksakan perubahan yang drastik itu. UMNO mengesahkannya dan media akur dengan kehendak PM. Dalam sekelip mata kita kembali kepada dasar yang mengagungkan BI sebelum 1970. Bahawa BM tidak layak menjadi bahasa ilmu hatta di sekolah rendah apabila Matematik dan Sains dicegah menggunakan BM.

PPSMI pun dijalankan dengan tergesa- gesa dengan memangsakan para pelajar yang tidak ada latar belakang BI. Rakyat dipaksa terima walau pun ramai yang membantah. Dalam masa yang sama sekolah China dan Tamil yang wajib dikebangsaankan menjelang 1990 dengan kuasa Menteri Pelajaran dikekalkan perjalanannya seperti biasa. Sekolah kebangsaan dikorbankan untuk melaksanakan dasar yang gila dan jelik demi untuk memenuhi kehendak seorang pemimpin yang bongkak dan diktator. Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mantap teah dicairkan oleh PM yang menetang perlembagaan.

Tun Razak menukar sekolah Inggeris menjadi sekolah kebangsaan.Mahathir Mohamed menterbalikkannya apabila menukar sekolah kebangsaan menjadi sekolah Inggeris secara beransur-ansur menerusi pelaksanakan PPSMI. Malangnya Abdullah Badawi yang menjadi PM pada 2003 tidak mengubahkannya semula walau pun beliau ada kuasa. Beliau sekadar melaksanakan J- Qof sahaja. Sepatutnya beliau memperbetulkan dasar yang salah warisan Mahathir kerana beliau PM yang mendapat mandat paling besar .

Kini apabila terdapat penentangan secara menyeluruh UMN0 sebuah parti yang pragmatis sentiasa berdolak-dolak. Kerajaan menangguhkan dasar kembali kepada BM dengan memperlambatkan PPSMI sehingga 2013. Ketika melaksanakan PPSMI ia dijalankan tanpa kompromi dan perbicangan. Berulangkali Menteri Pelajaran mempertegaskan BI perlu diperkasakan dengan serius sebagai bahasa ilmu. Menjelang 2013 apabila BI berjaya diperkasakan menurut pengesahan media perdana dan para politikus pragmatisme, tidak mustahil PPSMI akan diteruskan sahaja. BM akan ditinggalkan secara beransur-ansur sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan.

UMNO hanya minta cup sekejap sebagai helah untuk tidak melaksanakan BM. Taktik ini seperti silap mata politik untuk mengabui mata rakyat. Mereka para pewaris dasar kolonialisme British, elit penguasa yang bercokol dalam UMNO tetap dengan jatidiri yang asal ”sekular” iaitu Melayu liberal dan Islam liberal. Inilah masalahnya kepada Melayu dan Islam di Malaysia apabila dasar diputuskan oleh segelintir penguasa politik yang bertakhta bukannya rakyat jelata secara demokratik yang memutuskannya.

Rakyat telah menyerah amanah kepada pemimpin yang tidak ada jatidiri Melayu dan Islam yang tulin. Mereka para penerus sekularisme barat tidak ada istiqomah untuk melaksanakan sistem pendidikan kebangsaan secara bermaruah dan total sebagaimana para nasionalis di Thailand, Indonesia bahkan Filipina . Adakah tempoh 50 tahun lebih merdeka tidak cukup untuk melaksanakan BM. Tempohnya cukup tetapi dasar yang berjaya telah dikhianati oleh para pemimpin kita yang ulung pada tahun 2003.

Terbukti UMNO telah melenyapkan tulisan jawi apabila menghapuskannya dalam sistem pendidikan. Apabila tidak wujud ramai khalayak pembaca Jawi, akhbar Utusan Melayu yang amat berjasa kepada UMNO pun mati. Sedangkan akhbar-akhbar Tamil terus bertahan. Akhbar China terus perkasa. Media tulisan jawi menghilang dari arus perdana.

Intelengensia didikan barat yang telah menghadham barat dalam cara hidup mereka sekali-kali tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan BM secara menyeluruh. Apabila dikaji penampilan mereka dalam media massa hendak buat kenyataan penting dalam negara pun menggunakan BI apabila berwacana dengan rakyat terbanyak yang rata-rata menggunakan BM. Apabila jati diri menyangsikan bagaimana tindak tanduk akan betul.

Kiblat mereka sebenarnya menghala ke barat walau pun menggubal dasar pandang ke timur. Itulah hakikatnnya yang sebenar. Menurut mereka BM tidak ada nilai ekonomi berbanding dengan BI walau pun para pejuang bahasa bertekad ”BAHASA JIWA BANGSA”\. Ia hanya tinggal sebagai slogan kosong tanpa realisasi.Perlembagaan yang memartabatkan BM tinggal sebagai dokumen sejarah untuk sesekali dipergunakan. Apabila terlalu banyak dolak - dalik dan permainan politik dasar akan menjadi mangsa dan rakya dikorbankan. Harapkan pagar pagar makan padi.Atas nama Melayu dan Islam semuanya tak menjadi. Atas nama liberal semuanya menjadi menerusi I Malaysia!

No comments:

Post a Comment