Saturday, September 18, 2010

Dasar Pakatan rakyat

Dasar Pakatan Rakyat

1. Demokrasi Telus dan Tulen

A – Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang

B – Pemisahan Kuasa

C – Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil

2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil

A – Ekonomi Kemahiran Tinggi

B – Ekonomi Demokratik dan Telus

C – Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri

D – Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan

E – Tenaga Kerja

F – Jaringan Perlindungan Sosial

G- Perumahan

H- Prasarana dan Kemudahan Awam

I- Alam Sekitar

3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan

A – Perpaduan dan Keadilan Sosial

B – Agama

C – Pendidikan

D – Wanita dan Institusi Keluarga

E – Golongan Muda

F – Keselamatan

G – Kesihatan

H- Kebudayaan

4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara

A – Sistem Persekutuan

B – Sabah dan Sarawak

C – Dasar Luar Negara

MUAFAKAT RAKYAT

Pakatan Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.

Agenda pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman sempit, politik adu domba dan “demokrasi otoritarian”. Ekonomi merudum akibat dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia tercicir ke belakang dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.

Ketidakadilan ekonomi semakin ketara dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan miskin, antara bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

Peningkatan jenayah mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat kerana pasukan polis disalahgunakan untuk tujuan politik sempit. Kewibawaan dan kebebasan sistem kehakiman terus digasir oleh campur tangan politik dan kepentingan perniagaan.

Setengah abad Malaysia merdeka dan berdaulat sewajarnya mendewasakan. Ini diterjemahkan manakala rakyat dari pelbagai kaum mempamerkan semangat baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud, menolak kerakusan kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah negara dan menginjak hak rakyat.

Menginsafi semangat rakyat tersebut maka Pakatan Rakyat mengikrarkan iltizam kami untuk menghayati dan melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.

Malah kami yakin; kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok. Dasar yang terpasak dari kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan.

Pakatan Rakyat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu dengan lebih pantas melalui dasar ekonomi pasaran yang manusiawi yang mengarah kepada pembangunan manusia seutuhnya. Kebijakan ekonomi harus menjadikan Malaysia mampu berdaya saing, iklim pelaburan yang sihat, percukaian progresif, tetapi kukuh dengan hasrat mencapai keadilan melalui kaedah pengagihan ekonomi yang adil terutama bagi kelompok miskin dan terpinggir.

Pakatan Rakyat menolak dasar yang membuka ruang kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. Demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yang hanya memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan kepada golongan miskin di Malaysia tanpa mengira kaum.

Berdasarkan latar belakang ini kami mengajak rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.

Pembangunan Semula Kampung Warisan Tg Tok Kong

Menurut Pengerusi UDA Holdings yang baru, Datuk Nor Jazlan UDA telah merancang pembangunan semula Kampung Tanjong Tok Kong selama 40 tahun tetapi gagal melaksanakannya cita-cita murni tersebut kerana telah digagalkan oleh segelintir anasir-anasir di dalam kampung yang berkepentingan diri,Mereka tidak ingin melihat rancangan murni menempatkan Melayu dalam kehidupan bandar terlaksana. Benarkah begitu? Siapakah mereka yang begitu berjaya menggagalkan rancangan besar kerajaan itu? Mari kita meneliti apa yang sebenarnya telah berlaku ?

Friday, September 17, 2010

Wacana 11 Ogos 1786 Imlikasinya ke atas Sejarah Malaysia

SEJARAWAN MEMPERKATAKAN KEWUJUDAN PEMASTAUTIN

SEBELUM KEDATANGAN FRANCIS LIGHT

George Town 12 Ogos 2010: Berasaskan penyelidikan, seorang tokoh sejarah sedang menulis buku mengenai penempatan terawal yang wujud di P.Pinang sebelum ketibaan penjajahan British pada tahun 1786. Kewujudan penempatan tersebut tidak pernah mendapat liputan yang luas dalam sejarah Malaysia.

Bercakap dalam satu wacana bersempena ulang tahun tarikh pendaratan Kepten Inggeris Francis Light pada “ 11 Ogos 1786, Profesor Dr Ahmad Merican berkata peristiwa tersebut selalu disalah tasir sebagai permulaan sejarah masyarakat Pulau Pinang.

“ Kita perlu tahu apa sebenarnya yang berlaku sebelum daripada tarikh tersebut. Sejarah komuniti asal yang terawal telah diketepikan begitu sahaja” Begitu kenyataannya dalam taklimat ringkas di USM.

Turut hadir aktivis sosial Mohd Salleh Yahaya pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Tanjong Tok Kong iaitu penempatan Melayu berusia lebih 200 tahun yang akan dimusnahkan oleh UDA Holdings Bhd.

Fokus utama penyelidikan Dr Ahmad Merican ialah sejarah Datuk Jenaton, seorang bangsawan Minangkabau dari Sumatera yang telah menduduki P.Pinang pada tahun 1749. Beliau menjadi penghulu sehingga tahun 1789 . Makam Datuk Jenaton masih kekal di Minden Height kini.

Datuk Jenaton telah mengepalai pelayaran yang membawa 90 orang suku Batak.Beliau belayar dari pelabuhan Batubara di Sumatera dalam perjalanannya ke P.Pinang dengan menaiki dua buah perahu panjang pada tahun 1749.

Ahamd Murad sendiri adalah seorang keturunan Datuk Jenaton menegaskan terdapat penempatan di tepi pantai di Batu Uban . Masjid telah dibina disitu pada tahun 1734 dan masih utuh di Batu Uban hingga kini.

Beliau menyatakan kewujudan undang-undang lama yang mengatur sistem perjalanan masyarakat telah diketepikan apabila undang-undang British mengambil tempat.

Adalah perlu untuk mengetengahkan perspektif yang berlainan tentang sejarah satu-satu tempat daripada hanya mengikut pendekatan, acuan dan kaca mata barat semata-mata. Barat(British) meletakkan tarikh 1786 sebagai permulaan sejarah P.Pinang. Keadaan ini seperti tidak ada apa-apa sejarah sebelumnya.

“Kita mahu memperbesarkan kesan dan akibat tarikh ini ke atas Malaysia. Kita mesti menebus dan memperbetulkan perspektif sejarah masa lampau. Kerajaan harus menggalakkan berbagai bentuk wacana tentang penemuan semula sejarah kita” tegas beliau.

Ahmad Murad menyatakan Minden dulu dikenali sebagai Bukit Datuk Jenaton yang menjadi penghulu di kawasan bukit tersebut iaitu tapak USM kini.

Wacana 11 Ogos 1786

WACANA SEJARAH 11 OGOS 1786 :

IMPLIKASINYA TERHADAP SEJARAH MALAYSIA


Sejarah Malaysia era penjajahan Inggeris sebenarnya bermula dari Pulau Pinang. Dari pengkalan inilah Inggeris menjalar mengembangkan sayap menelusuri dan menjajah negeri-negeri Melayu. Dari sini juga Inggeris membawa masuk buruh-buruh asing untuk memunggah kekayaan. Mereka memburuh di lombong-lombong bijih, ladang getah, pelabuhan, tapak-tapak pembinaan jalan raya dan jalan keretapi serta pusat-pusat pentadbiran seluruh Malaya.

Di sini juga bermulanya dasar ekonomi bebas, sistem kehakiman, institusi polis dan asas pentadbiran. Segalanya bermula dari Pulau Pinang. Begitu juga dengan kewujudan Jawi Peranakan atau Jawi Pekan. Bermula di Batu Uban Pulau Pinang apabila berlaku perkahwinan campur di antara Melayu dengan Arab.

Wacana sejarah ini berhasrat untuk mengkaji semula peristiwa yang berlaku 224 tahun yang lampau dan kesannya ke atas sejarah Malaysia khususnya di Pulau Pinang. Pada tarikh tersebut seorang Kepten Inggeris yang bernama Francis Light telah mendarat di pantai Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Beliau memacakkan bendera Union Jack menandakan bermulanya penguasaan dan penjajahan Inggeris di Malaya

Kawasan sekitar itu bernama Tanjong Penaga dan terletak di dalam wilayah kekuasaan Datuk Nakhoda Kecil seorang nakhoda Melayu yang telah membukanya terlebih awal dengan restu baginda sultan Kedah. Beliau membukanya sebagai kawasan perdagangan yakni pelabuhan sekitar pertengahan abad ke 18, mendudukinya dan menjadi ketua masyarakat Melayu yang berkuasa di situ.

Justeru beliau mendatangai Francis Light, bertanya apa gerangan beliau mencerobohi kawasannya. Datuk Nakhoda Kecil atau nama sebenarnya Ismail telah membawa sebahagian daripada para pengikutnya seramai 50 orang mengikut catatan daripada Francis Light sendiri. Kawasan sekitar Tanjong Penaga,Sungai Pinang, Jelutong, Gelugor dan Batu Uban sudah pun diteroka dan diduduki.

Datuk Nakhoda Kecil memerintah dan berkuasa dari Tanjong Penaga hingga ke Jelutong.Manakala daerah berikutnya dikuasai oleh Nakhoda Intan yang juga mempunyai hubungan kerabat dengan beliau iaitu daripada suku yang sama Minangkabau berasal dari Pagar Ruyung Sumatera Barat.

Siapakah Light yang berani memacakkan bendera kerajaan British di dalam wilayah kekuasaan Melayu khususnya kesultanan Kedah dengan sewenang-wenang. Datuk Nakhoda Kecil membuka dan memerintah Tanjong Penaga di atas restu baginda sultan dan telah bertapak di situ 50 tahun lebih dulu daripada K.Light.

Mereka para nakhoda Melayu yang juga para pedagang telah membuka beberapa pelabuhan di sekitar Pulau Pinang sebelum terbukanya George Town/ Weld Quay. Di antaranya Datuk Nakhoda Intan membuka kawasan Batu Uban yang merupakan pengkalan, pelabuhan dan penempatan ulung Melayu Minangkabau pada ketika itu.

Catatan peta oleh Kepten Walter Avis pada tahun 1763 mencatatatkan “There is a town”

Bagitu juga dengan kawasan Sungai Pinang telah diteroka dan dihiliri ssehingga ke Masjid Aceh di Kebun Lama.Kawasan Datuk Keramat dibuka oleh Datuk Keramat seorang wali dan perantau dari Aceh. Kawasan Kelawai yang nama asalnya Kuala Awal diteroka para saudagar dari Palembang.Wujud sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Palembang.

Datuk Nakhoda Ragam yang telah berulang alik ke sini dari Kepulauan Riau menamakan Pulau Pinang sebagai Pulau Ke Satu. Dari segi ilmu pelayaran ia merupakan pulau terbesar yang pertama yang ditemui dalam laluan memasuki Selat Melaka daripada sebelah utara.

Siapakah Kepten Light yang sebenarnya. Kedatangannya telah memadamkan sejarah sebelumnya sehingga sejarah Pulau Pinang dikatakan hanya bermula dengan kedatangannya ke Pulau Pinang pada tahun 1786 ? Jasa ramai para nakhoda Melayu sejarahnya dihilangkan dengan mudah dengan kedatangan seorang kepten Inggeris. Memang benar. Jelas beliau adalah seorang perampas.

Beliau hanya seorang saudagar bebas yang bermukim di Phukit lebih daripada 20 tahun sebelum tiba di Pulau Pinang. Beliau mahir berbahasa Melayu dan dapat membaca surat-surat Melayu bertulisan huruf Jawi/Arab. Beliau sering berulang alik di antara Phuket, pantai Kedah dan daerah sekitarnya untuk berdagang candu dan senjata. Dalam masa yang sama menjadi perisik bagi pihak Thai kerana mempunyai hubungan yang akrab dengan kerajaan Thai yang membenarkan beliau berpengkalan di Phuket.

Beliau pernah mendatangi baginda sultan Kedah dan amat memahami situasi pada ketika itu. Bahawa kesultanan Kedah dalam keadaan yang daif diancam Thai yang menyerangnya secara bertubi-tubi. Situasi pada ketika itu amat memihak kepada Inggeris. Kedah sangat memerlukan bantuan asing . Mengambil kesempatan tersebut Light menawarkan bantuan Syarikat Hindia Timur Inggeris di India.

Light adalah seorang saudagar candu, pembekal senjata, perisik dan pedagang yang mencuba untung nasib mencipta nama di sebelah timur. Beliau yang sering berhubungan dengan sultan amat memahami keperluan Kedah yang memerlukan bantuan senjata dan perlindungan terutama daripada Inggeris yang beribu pejabat di Teluk Benggala. Janji demi janji dibuat untuk menolong Kedah melawan Thai.

Di sinilah bermulanya titik hubungan timbal balik di antara Kepten Light dan baginda sultan. Pada ketika itu beliau didampingi oleh seorang saudagar India Muslim yang lebih awal mempunyai hubungan dagang dengan Kedah dan Pulau Pinang. Beliau ialah Bapu Alauddin Meera Hussein Lebai.

Bapu Alauddin mahir dengan laluan laut di kuala – kuala sungai. Beliau adalah pedagang lembu dan kerbau dan biasa berhubungan dengan para penduduk di pengkalan-pengkalan di Pulau Pinang. Beliau juga mempunyai hubungan yang akrab dengan baginda sultan. Dengan menggunakan khidmat Bapu Alauddin sebagai wakil yang mendapat kebenaran Sultan Kedah, Kepten Light telah mendarat di pantai Padang kota Lama pada 11 Ogos 1786.

Kepten Light pada ketika itu sebenarnya seorang saudagar sahaja yang tidak pun diberi kuasa mewakili mahkota Inggeris di India atau kepentingan Syarikat Hindia Timur Inggeris. Beliau hanya menjanjikan bantuan kerajaan Inggeris untuk membantu Kedah.Namun segala janji ini tidak pernah ditunaikan. Adakah pendaratan ini sah dan layak mengatakan Kepten Light sebagai pembuka Pulau Pinang sedangkan pulau ini telah pun dibuka oleh para Nakhoda Melayu sebelumnya.

Beliau sebenarnya perampas Pulau Pinang dengan menggunakan janji dan tipu daya. Sultan yang terpengaruh dengan janji dan bantuan telah menyerahkan Pulau Pinang untuk dijadikan pengkalan dagang. Baginda mengenakan syarat iaitu bantuan senjata. Menyedari bahawa baginda telah diperdaya sultan dengan segera mempersiapkan angkatannya di Kuala Perai untuk mengambil balik Pulau Pinang. Pada ketika itu kepten Light dengan bantuan Inggeris EIC telah menyerang angkatan Sultan Kedah terlebih dahulu dan mengisytiharkan kekalahan sultan. Terus diisytiharkan Pulau Pinang adalah wilayah Inggeris.

Sejarah mesti dikaji semula untuk memperbetulkan faktanya terutama selepas merdeka. Sejarah kita mesti dibebaskan daripada perspektif penjajahan yang apabila berkuasa mengosongkan sejarah, tidak ada apa-apa yang berlaku sebelumnya. Pengisytiharan George Town sebagai bandar raya Warisan dunia mengapa mesti terkongkong dengan skop George Town sebagai warisan British sehingga menenggelamkan warisan kita yang bersejarah

Kita telah menobatkan warisan British yang memperdaya kita secara keterlaluan sehingga mengetepikan warisan Melayu yang wujud sebelumnya. Sesungguhnya sebelum George Town telah wujud Tanjong Penaga. Sejarah Tanjong Penaga dan jasa Datuk Nakhoda Kecil mesti dikenang. Ia mesti dihidupkan semula menjadi tapak warisan Melayu sebagaimana wujudnya petempatan rumah di atas air di Jeti yang telah dinobatkan menjadi warisan walau pun baru didirikan dengan menceroboh tanah kerajaan yang dipegang oleh Suruhanjaya pelabuhan Pulau Pinang.

Sesungguhnhya Pulau Pinang adalah di dalam wilayah dunia Melayu dan Nusantara. Ia tidak pernah terpisah daripadanya. Sesungguhnya warisan mesti bermula dengan sesuatu yang asli yang berpuncaa di bumi ini bukan yang terasing daripadanya. Melaka telah bermula dengan warisan Melayu dan diikuti dengan warisan asing. Apakah ini tidak menjadi asas yang kukuh untuk menobatkan warisan Melayu di Pulau Pinang. Mengapa warisan di Pulau Pinang tempang. UNESCO telah mengetepikan warisan Melayu.

Kampung Melayu Tanjong Tok Kong dan Batu Uban tidak dapat tidak mesti dinobatkan sebagai zon warisan secara semula jadi. Kawasan sekitar jeti yang nama asalnya Tanjong Penaga dan kawasan Padang Kota Lama mesti dibangunkan semula menjadi zon warisan Datuk Nakhoda Kecil yang hidup.

Sungguhnya warisan Melayu Pulau Pinang tidak bermula dengan Jawi Peranakan yang hanya terjadi di zaman penjajahan. Warisan mesti bermula dengan sesuatu yang asli yang mempunyai akar sejarah yang kuat. Sesuatu yang ada diperkemas dan dituntaskan semula.Yang hilang ditampilkan semua .Ini sesuai dengan takrfan skop warisan sebagaimana yang telah diungkapkan oleh Datuk Seri Utama Rais Yatin ketika memimpin KEKWA, Kementerian Kebudayaan dan Warisan Negara:

Warisan ialah sesuatu yang diterima secara turun temurun oleh seseorang atau sekelompok masyarakat daripada generasi sebelumnya. Ia menggambarkan memori darpada keseluruhan kehidupan yang melengkapkan ketamadunannya”.

Wednesday, September 15, 2010

TOKOH-TOKOH MELAYU P.PINANG

TOKOH-TOKOH MELAYU PULAU PINANG DI ARENA ANTARABANGSA

1. SHEIKH GULAMEAH BIN SHEIKH AHMAD MEAH “ DADA” ( 1905-1947)

TOKOH PERSILATAN MELAYU TERMODEN DI NUSANTARA

2. SHEIKH YUSUF – AMAL SOLEH DAN WAKAFNYA KEKAL HINGGA KINI

3. P. RAMLEE SENIMAN SERBA MENJADI - DITANGANNYA FILEM

MELAYU MENJADI RATU DI ASIA

4. HAJI ABDULLAH FAHEEM - ULAMA, AHLI FALAK DAN PERAMAL MASA

DEPAN UMAT MELAYU DI MALAYSIA

5. CIKGU MOHD NOR AHMAD–PELETAK TONGGAK DASAR PENDIDIKAN

KEBANGSAAN

6. SYED SHEIKH AL HADI–PENGASAS SISTEM PENDIDIKAN ISLAM MODEN

Pengenalan

Kita perlu memahami kriteria untuk meletakkan seseorang menjadi tokoh. Tokoh yang memberi sumbangan besar lagi bermakna pada zamannya. Penampilannya dipentas sejarah mengisi semangat zaman. Ia membawa perubahan yang bermakna sehingga kesannya dapat dimanfaati sehingga kini. Jika tidak tokoh menjadi tokoh kerana dipertokohkan sedangkan jasanya tidak ke mana tidak dapat dimanfaati oleh ummah.

Sebagai contoh bapa pembangunan kita Tun Razak. Hampir tidak ada sudut di mana nama Tun Razak akan diabaikan apabila berbicara tentang pembinaan dan pembangunan negara bangsa Malaysia selepas merdeka. Beliaulah peletak Dasar Pendidikan Kebangsaan, pembukaaan tanah dan pembasmi kemiskinan, pembina dasar luar, pengasas Dasar Ekonomi Baru, Anugerah Sastera,sistem ejaaan dan banyak lagi.

Jika tidak berjasa besar, ia hanya sekadar seorang selebriti dan pengajur biasa. Penyanyi walau bagaimana masyhur sekali pun hanya sekedar penghibur. Mereka disanjung dan dipuja pada era di puncak kemasyhurannya. Selepas itu dilupai apabila muncul penyanyi baru. Kita mengingati Elvis kerana Rock N Roll dan Muhammad Ali kerana kehebatan bertinju. Kini muncul selebriti seperti Michael Jackson, Maradona dsb.

Tokoh meski pun tidak semasyhur penyanyi ada kekuatan untuk dikenang sepanjang zaman.Mereka memiliki jasa, karya dan karisma. Contohnya Saidina Ali Ibn Abi Tolib. Beliau memang seorang tokoh besar sepanjang sejarah. Kita boleh menafikan dengan mengatakan bahawa beliau hanya tokoh di kalangan golongan syiah sahaja yang memujanya secara berlebihan. Adakah Ali masyhur kerana pemujaan sahaja tanpa jasa.

Bila membuka buku-buku sejarah Islam di peringkat awal nama Ali muncul, bila kita merujuk tentang tasawuf nama Ali tertonjol. Usah berbicara tentang ilmu pengetahuan Ali mendahului banyak tokoh –tokoh sezaman. Jadi beliau bukan dipertokohkan. Beliau berdiri kerana kewibawaannya dan sumbangannya yang bermakna.

Begitu juga dengan Bruce Lee seorang legenda silat yang hebat. Penampilannya telah menjadikan dunia kung fu dikagumi dan mendapat tempat di seluruh dunia. Di kalangan anak muda siapa yang tidak mengenalinya. Ia menjadi idola. Seni ketrampilannya melampaui jangkauan para peminat yang terdiri daripada berbagai bangsa. Inilah kelebihan tokoh sebenar. Mereka dipuja dan diakui kerana wibawa,jasa dan penampilan.

Sheikh Gulameah ” DADA” - Tokoh Persilatan Melayu Moden

P.Pinang adalah sebuah wilayah kecil di persada dunia. Tempat pertembungan berbagai rencam budaya dan pintu masuk ke Nusantara dari sebelah barat. Di sana lahirnya masyarakat Melayu kacukan hasil perkahwinan di antara Melayu dengan Arab dan India Selatan. Dikenali sebagai Jawi Pekan ”Melayu bandar” atau Jawi Peranakan iaitu Melayu kacukan.mereka menjadi penghuni bandar dan terlibat dengan pemodenan.

Namun bumi yang kerdil ini telah melahirkan tokoh-tokoh besar yang menjadi legenda di sepanjang zaman. Kita bandingkannya dengan tokoh – tokoh di negara Malaysia dan bidang yang diceburi serta sumbangan mereka terhadap zaman. Penulis menampilkan enam nama besar untuk dinilai khalayak, para pembaca dan sarjana. Kajian perlu dibuat untuk menilai dan mengukur ketokohan mereka. Mereka apabila dibandingkan dengan tokoh nasional tidak kurang hebatnya.Malahan menjadi tokoh legenda sepanjang zaman.

Bermula dengan Sheikh Dada anak kelahiran Kelawai Pulau Pinang. Dilahirkan pada tahun 1905 dan meninggal dunia pada tahun 1947 ketika berusia 42 tahun. Beliau tinggal di Jalan Petani Pulau Pinang . Kemasyuhurannya ialah dalam bidang persilatan atau seni bela diri. Orang berasa megah dengan seni bela diri China seperti kung fu, kuntau, gayung, sendeng, tomoi dan boxing thai, tekpi, silamban, jujitsu dan sebagainya. Dada telah mempelajari semua seni ini semasa zaman mudanya dalam perkelanaan mencari ilmu dan pengalaman. Beliau menguasai 17 permainan silat sama ada Melayu,China,Jepun,India,Nusantara dan sebagainya.

Usaha menimbulkan tokoh yang terpendam dalam lipatan sejarah bukanlah satu kerja yang mudah. Kata pujangga” Hanya bangsa yang besar mengenali dan memperingati jasa tokoh-tokohnya” . Tokoh yang akan ditonjolkan ini telah 63 tahun meninggalkan kita.

Seperti kata pepatah gajah mati meninggalkan tulang, manusia mati meninggalkan nama. Jasa baktilah yang akan mengangkat nilai dan darjat seseorang tokoh tersebut. Kematian mereka menghidupkan nama yang harum. Mereka meninggalkan jejak dan khazanah yang berharga untuk kita hayati hingga kini.Apa yang kini dikenali sebagai harta intelek. Sayangnya kita tidak berusaha menggalinya untuk tatapan generasi kini.

Nama beliau ketika lahir ialah Sheikh Gulameh bin Sheikh Ahmad Meah.Lebih dikenali dengan nama ”DADA”. Beliau lahir di awal abad ke 20. Bersekolah Inggeris dan pernah menjadi surveyer.Di zaman mudanya beliau merantau di seluruh pelusuk nusantara untuk satu jangka masa yang panjang sebelum Perang Dunia Kedua. Beliau pernah tinggal di Kampung Baru Kuala Lumpur dan mendapat gelaran ”Che Dir Petir” menurut sumber yang dipetik daripada Yahaya Hj Salleh salah seorang muridnya yang terakhir 1945 – 1947.

Berbicara tentang tokoh timbul persoalan benarkah tokoh ini seorang budayawan yang berwibawa. Mungkinkah jasanya dengan sengaja dilebih-lebihkan sehingga dipertokohkan sedemikian rupa. Maka jadilah ia seorang tokoh seperti yang sering berlaku di kalangan ahli-ahli politik.

Semua seni bela diri ini telah dipelajari dan dikuasainya dengan cekap.Sepanjang hayat beliau menumpu dalam dunia persilatan nusantara dan antara bangsa.Hasilnya daripada pembelajaran dan penguasaaan terhadap 17 jenis seni permainan bela diri, tercetuslah satu seni bela diri yang baru.Beliaulah pelopornya.

Pencetus yang melahirkan seni silat termoden Melayu yang dikenali dengan nama Silat Pelaga atau Silat Petir dan Silat Melayu Pulau Pinang. Inilah satu bentuk permainan bela diri yang beliau persiapkan untuk persiapan zahir dan batin umat Melayu P.Pinang.Beliau berhasrat hendak melaksanakannya pada tahun 1948 dengan nama ” The New System of Art : The Art of Petir”.Sejenis silat tempur atau combat fighting yang boleh mencederakan,mematahkan tulang dan membunuh lawan.

Di antara seni silat yang dipelajari oleh Dada ialah permainan silat Jepun jujitsu, tinju, silat terelak,silat sendeng Minangkabau, kuntau Melaka, silat silabam tawgau, perlawananan menggunakan tekpi, tanduk , besi panjang dan pendek , keris, pedang, ekor dan pari. Seni ini digabungkan secara bersepadu dengan menggunakan segala anggota tubuh.Semua boleh dijadikan senjata apabila dilatih dengan bersungguh.

Seni ini sejenis ”combat fighting” jarak dekat yang menggunakan seluruh anggota tubuh untuk dijadikan senjata dalam menumbangkan musuh. Dada memanfaatkan seluruh anggota tubuh untuk dijadikan senjata yang ampuh seperti kaki, lutut,siku,kepala, pergelangan tangan, ibu jari kaki, penumbuk dan bahagian-bahagian pada buku tangan.

Marilah kita mengutip kata-kata Dada untuk mengukur sejauh manakah kehebatannya dalam bidang seni bela diri :

Semua jenis permainan silat ada kekuatan dan kelemahannya. Siapa yang cepat dialah yang dapat. Jadi berlatihlah dengan penuh kudrat.

Berlatih dengan besi tidak akan rugi,ia pasti berguna di kemudian hari

Penting sekali memandang setiap gerak musuh walau apa gerak sekali pun. Terlintas difikiran sekalian anggota bekerja.

Ada tiga jenis pukulan dalam persilatan, pukulan untuk mencedarakan musuh, pukulan untuk mematahkan tulang dan pukulan maut yang ditujukan pada point-point tertentu.

Tuntutlah ilmu yang boleh bagi takut kepada Tuhan Rabbul alamin hingga menggeletar anggota-anggota kita sekalian dengan sebenar-benarnya

Beliau bukan sahaja sekadar berteori tetapi telah menghasilkan manuskrip dalam bidang persilatan dan perubatan. Berniat untuk mengangkat martabat seni silat Melayu ke persada antarabangsa menerusi latihan dan permainan di dalam jim. Lengkap dengan sistemnya. Ada senaman asas, buah pukulan asas, alat-alat latihan, sistem pemakanan,ubat penguat fizikal, panduan perubatan, motivasi keyakinan diri dan sistem pengujian dan penarafan dari peringkat rendah hingga ke peringkat tertinggi.

Dada mempunyai wawasan untuk membangunkan bangsa dan negara dalam menghadapi cabaran masa depan dengan bangsa-bangsa lain. Ini berpunca daripada pemerhatian beliau terhadap nasib bangsanya yang lemah dalam setiap bidang. Beliau mengungkaplkan dengan penuh keteguhan tekad bagaimana membangunkan jatidiri bangsa yang kuat dan teguh. Beliau mengungkapkan:

”A nation can only be strong ,rich, prosprouse, industrius and etc by these two powers namely the brain power and the bodily power.

In order to achieve these powers which our eastern people has been lack of or entirely ignore and which is the most important to human kind must be trained and exercises to strengthen.The brain power as we all do to our bodies .

By this strengthened brains and bodies our eastern people can be strong, clever, rich, prosperouse and industrious.

For example it is not the atomic bomb is much powerful but the very brain of scientist is the most powerful and dangerous and that this very brain that destroys the all human kind”.

Terjemahan :

Sesebuah negara nescaya akan menjadi kuat dan hebat, kaya dan makmur, cekap dan berktrampilan dan sebagainya apabila berjaya membangunkan dua jenis kekuatan iaitu tenaga rohani dan akal fikiran serta tenaga fizikal atau jasmani.

Dalam usaha mencapai kemajuan ini, bangsa-bangsa di timur bukan sahaja serba ketinggalan malahan telah mengabaikannya sama sekali. Kekuatan-kekuatan ini perlu dilatih dan dibangunkan dengan utuh demi untuk memperkasakan umat.

Hasilnya apabila dua jenis kekuatan ini telah dibangunkan dengan seimbang,nescaya pasti melahirkan masyarakat yang kuat, hebat, makmur, kaya raya, dan cekap. Sebagai contoh bukanlah ledakan bom atom yang maha kuat dan hebat. Kehebatannya yang sebenar terletak pada otak saintis yang menghasilkannya. Otak manusia yang mencetuskannya itulah yang maha hebat dan berbahaya.Itulah yang sebenarnya telah memusnahkan umat manusia.

Dalam usaha melatih tenaga dan kekuatan tenaga rohani, Dada telah memberikan beberapa tunjuk ajar. Beliau telah mengamalkannya dan berjaya melalui berbagai cabaran di sepanjang kariernya. Sebagai seorang pesilat yang sentiasa bereksperimen dengan seninnya, beliau diuji sepanjang masa. Ini di antara amalan beliau yang beliau perturunkan untuk mempertingkatkan kecergasan dan kekuatan fikiran:

Dengan semangat Islam yang cukup keras dan cukup sinar melawan dengan sekalian nafsu hasad dan lain-lain nafsu. Dengan kuasa tuhan yang berkudrat, lagi suci, lagi hidup, lagi mendengar, lagi tunggal dan lagi bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dapatlah aku menakluk sekalian nafsu-nafsu hasad dan lain-lain nafsu yang membinasakan sekalian akal, hati dan anggota-anggota manusia.dengan berkat doa

Lailaha illallah Pertenangkanlah segala akal, hati dan sekalian anggota aku

Lailaha illallah Perkencangkanlah segala akal, hati dan sekalian anggota aku

Lailaha illallah Perteguhkanlah segala akal ,hati dan sekalian anggota aku

Lailaha illallah Perkukuhkanlah segala akal ,hati dan sekalian anggota aku

Lailaha illallah Permegahkanlah segala akal, hati dan sekalian anggota aku

Lailaha illallah Pergagahkanlah segala akal, hati dan sekalian anggota aku

Lailaha illallah Pertahankanlah segala akal, hati dan sekalian anggota aku

Lailaha illallah Perberanikanlah segala akal, hati dan sekalian anggota aku

Lailaha illallah Perkuatkanlah segala akal, hati dan sekalian anggota aku

Lailaha illallah Perkaharkanlah segala akal , hati dan sekalian anggota aku

Lailaha illallah Perkeraskanlah segala aka , hati dan sekalian anggota aku

Dengan semangat Islam yang cukup keras dan cukup sinar melawan dengan sekalian nafsu hasad dan lain-lain nafsu.

Dengan kuasa tuhan yang berkudrat, lagi suci, lagi hidup, lagi mendengar,lagi tunggal dan lagi bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dapatlah aku menakluk sekalian nafsu-nafsu hasad dan lain-lain nafsu yang membinasakan sekalian akal, hati dan anggota-anggota manusia.

Dengan berkat doa :

LAILAHA ILLALLAH MUHAMADAR RASULULLAH

Sheikh Gulameah Sheikh Ahmad Meah 1947.

Demikian sekelumit jasa Al Marhum Dada yang dirakamkan dalam manuskripnya.Benar seperti kenyataan yang terpampang di batu nisannya JASA TIDAK BINASA.lambat laut pasti muncul juga apabila dihayati dengan penuh minat oleh para pengkaji dan peminatnya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diganjari oleh Allah subnahu wataala dalam kalangan insane yang beramal soleh. Amin ya Rabbul alamin.

POLITIK BAHASA UMNO –BN

PPSMI LAWAN DASAR PELAJARAN KEBANGSAAN

Sejak awal para pemimpin UMNO dididikan Inggeris di MCKK mengkelan untuk melaksanakan BM dalam sistem pendidikan negara secara menyeluruh. Para pejuang bahasa terutama guru-guru Melayu, terpaksa berhempas pulas membawa usul penubuhan sekolah menengah Melayu dalam persidangan agung UMNO sebelum merdeka.Mereka mendesak UMN0 jangan lari daripada tujuan asal memartabatkan BM yang terhasil daripada Kongres Bahasa Melayu 1,2 dan 3 dan dimaktubkan dalam Penyata Razak.

Namun terbukti intelegensia didikan barat tetap menentang dan mengekalkan pemujaan keterlaluan terhadap BI. Malahan mereka menghantar anak-anak mereka keluar negara untuk bersekolah Inggeris di sana. Mereka menentang usul memartabatkan BM dan hanya akur setelah undian menentangnya kalah dalam persidangan UMNO 1956.

Terima kasih kepada guru-guru Melayu terutama Cikgu Mohd Nor Ahmad kerana tegas ketika berhadapan dengan intelegensia didikan barat yang diketuai Tengku Abd Rahman,Tun Razak dan Tun Dr Ismail. Namun pelaksanaan melaksanakan BM diserah kepada Khir Juhari seorang yang liberal dan kurang mesra dengan guru –guru Melayu.

Ternyata pelaksanaannya dilambatkan. Akibatnya guru-guru Melayu bingkas membantah.Mereka mengugut meletakkan jawatan jika kerajaan masih berdolak dalik tentang dasar bahasa. Disebabkan kecewa dengan janji-janji politik, guru-guru Melayu telah meletakkan jawatan secara beramai-ramai daripada UMN0. Akibatnya UMNO kalah di Kelantan dan Terengganu dalam PRU 1959 kerana dasar bahasa yang longgar.

Dasar memantapkan BM diteruskan dengan perlantikan Rahman Talib sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1960. Beliau mengukuhkan BM dengan mengeluarkan satu penyata iaitu penyata Rahman Talib. Tokoh ini tidak bertahan lama apabila terpaksa meletak jawatan pada tahun 1964 dan Khir Juhari menjawat semula sebagai Menteri Pelajaran sehingga tahun 1969. Dasar bahasa sekali lagi terumbang ambing sehingga 1969.

Para pelajar SPM keluaran BM menjadi saingan kepada MCE .Ternyata nilai pasaran BM merosot apabila ramai keluarannya tidak diterima dalam sektor pekerjaan. Pelaksanaan Penyata Razak dan Rahman Talib tidak menyeluruh apabila sekolah menengah Inggeris dikekalkan malahan menjadi pilihan utama. Terdapat sekolah-sekolah Melayu terutama di Pulau Pinang yang ditutup kerana kekurangan pelajar pada 1960an.

Pelaksanaan BM di peringkat sekolah amat mengecewakan sepanjang 13 tahun merdeka walau pun para pejuang bahasa sentiasa memantau pelaksanaannya. Ini sentiasa menghantui UMNO. Menteri Pelajaran ketika itu telah mengeluarkan subjek Jawi daripada pendidikan sekolah kebangsaan; sesuatu yang dikekalkan Inggeris sepanjang tempoh penjajahan. Keunggulan BM yang memiliki dua sistem tulisan yang sama kuat dari timur iaitu tulisan jawi dan satu dari barat iaitu tulisan rumi telah diabaikan.

Selepas 13 Mei 1969 Tun Razak, PM kedua mengumumkan sistem pendidikan akan kembali sepenuhnya kepada kehendak asal Penyata Razak. Menerusi Menteri Pelajaran Abdul Rahman Yaakub kerajaan menukar Sekolah Ingerís menjadi Sekolah Kebangsaan bermula pada tahun 1970. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang selaras dengan perlembagaan pun dituntaskan. Menteri Pelajaran mempunyai kuasa untuk menutup sekolah – sekolah Tamil dan China selepas tempoh 20 tahun tempoh penyesuaian untuk diselaraskan dengan kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan

Secara beransur-ansur seluruh sistem pendidikan akan menggunakan BM sebagai bahasa pengantar menjelang 1990. Dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti akan dikebangsaankan . Ternyata sistem ini berjaya menyeragamkan sistem pendidikan kita yang dipisah-pisahkan sehingga 1969. Perangkaan tahun 2000 menunjukkan ratusan ribu graduan terhasil daripada kejayaan memartabatkan BM daripada IPT tempatan.

Malahan lebih ramai graduan telah dijana daripadanya berbanding dengan sistem penjajah Inggeris dan 13 tahun selepas kemerdekaan ( 1957-1970). Dalam jangka masa 30 tahun(1970-2000) kita dapat lihat ramai graduan perubatan, kejuruteraan, teknokrat dan profesional yang terhasil daripada universiti –universiti tempatan yang menggunakan BM sebagai pengantar. Namun BI tetap tidak diabaikan sebagai bahasa ilmu , bahasa perdagangan dan perhubungan antara bangsa.

Malangnya sistem yang berjaya ini telah direncatkan oleh kerajaan di bawah pimpinan PM Mahathir Mohamed secara mengejut. Beliau mengumumkan pelaksanaan PPSMI menjelang 2003. Beliau yang tanpa berunding dengan sesiapa pun melainkan dirinya sendiri memaksakan perubahan yang drastik itu. UMNO mengesahkannya dan media akur dengan kehendak PM. Dalam sekelip mata kita kembali kepada dasar yang mengagungkan BI sebelum 1970. Bahawa BM tidak layak menjadi bahasa ilmu hatta di sekolah rendah apabila Matematik dan Sains dicegah menggunakan BM.

PPSMI pun dijalankan dengan tergesa- gesa dengan memangsakan para pelajar yang tidak ada latar belakang BI. Rakyat dipaksa terima walau pun ramai yang membantah. Dalam masa yang sama sekolah China dan Tamil yang wajib dikebangsaankan menjelang 1990 dengan kuasa Menteri Pelajaran dikekalkan perjalanannya seperti biasa. Sekolah kebangsaan dikorbankan untuk melaksanakan dasar yang gila dan jelik demi untuk memenuhi kehendak seorang pemimpin yang bongkak dan diktator. Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mantap teah dicairkan oleh PM yang menetang perlembagaan.

Tun Razak menukar sekolah Inggeris menjadi sekolah kebangsaan.Mahathir Mohamed menterbalikkannya apabila menukar sekolah kebangsaan menjadi sekolah Inggeris secara beransur-ansur menerusi pelaksanakan PPSMI. Malangnya Abdullah Badawi yang menjadi PM pada 2003 tidak mengubahkannya semula walau pun beliau ada kuasa. Beliau sekadar melaksanakan J- Qof sahaja. Sepatutnya beliau memperbetulkan dasar yang salah warisan Mahathir kerana beliau PM yang mendapat mandat paling besar .

Kini apabila terdapat penentangan secara menyeluruh UMN0 sebuah parti yang pragmatis sentiasa berdolak-dolak. Kerajaan menangguhkan dasar kembali kepada BM dengan memperlambatkan PPSMI sehingga 2013. Ketika melaksanakan PPSMI ia dijalankan tanpa kompromi dan perbicangan. Berulangkali Menteri Pelajaran mempertegaskan BI perlu diperkasakan dengan serius sebagai bahasa ilmu. Menjelang 2013 apabila BI berjaya diperkasakan menurut pengesahan media perdana dan para politikus pragmatisme, tidak mustahil PPSMI akan diteruskan sahaja. BM akan ditinggalkan secara beransur-ansur sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan.

UMNO hanya minta cup sekejap sebagai helah untuk tidak melaksanakan BM. Taktik ini seperti silap mata politik untuk mengabui mata rakyat. Mereka para pewaris dasar kolonialisme British, elit penguasa yang bercokol dalam UMNO tetap dengan jatidiri yang asal ”sekular” iaitu Melayu liberal dan Islam liberal. Inilah masalahnya kepada Melayu dan Islam di Malaysia apabila dasar diputuskan oleh segelintir penguasa politik yang bertakhta bukannya rakyat jelata secara demokratik yang memutuskannya.

Rakyat telah menyerah amanah kepada pemimpin yang tidak ada jatidiri Melayu dan Islam yang tulin. Mereka para penerus sekularisme barat tidak ada istiqomah untuk melaksanakan sistem pendidikan kebangsaan secara bermaruah dan total sebagaimana para nasionalis di Thailand, Indonesia bahkan Filipina . Adakah tempoh 50 tahun lebih merdeka tidak cukup untuk melaksanakan BM. Tempohnya cukup tetapi dasar yang berjaya telah dikhianati oleh para pemimpin kita yang ulung pada tahun 2003.

Terbukti UMNO telah melenyapkan tulisan jawi apabila menghapuskannya dalam sistem pendidikan. Apabila tidak wujud ramai khalayak pembaca Jawi, akhbar Utusan Melayu yang amat berjasa kepada UMNO pun mati. Sedangkan akhbar-akhbar Tamil terus bertahan. Akhbar China terus perkasa. Media tulisan jawi menghilang dari arus perdana.

Intelengensia didikan barat yang telah menghadham barat dalam cara hidup mereka sekali-kali tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan BM secara menyeluruh. Apabila dikaji penampilan mereka dalam media massa hendak buat kenyataan penting dalam negara pun menggunakan BI apabila berwacana dengan rakyat terbanyak yang rata-rata menggunakan BM. Apabila jati diri menyangsikan bagaimana tindak tanduk akan betul.

Kiblat mereka sebenarnya menghala ke barat walau pun menggubal dasar pandang ke timur. Itulah hakikatnnya yang sebenar. Menurut mereka BM tidak ada nilai ekonomi berbanding dengan BI walau pun para pejuang bahasa bertekad ”BAHASA JIWA BANGSA”\. Ia hanya tinggal sebagai slogan kosong tanpa realisasi.Perlembagaan yang memartabatkan BM tinggal sebagai dokumen sejarah untuk sesekali dipergunakan. Apabila terlalu banyak dolak - dalik dan permainan politik dasar akan menjadi mangsa dan rakya dikorbankan. Harapkan pagar pagar makan padi.Atas nama Melayu dan Islam semuanya tak menjadi. Atas nama liberal semuanya menjadi menerusi I Malaysia!

Peluang keemasan Untuk PAS

PELUANG KEEMASAN PAS DALAM POLITIK NASIONAL

PAS sebuah gerakan Islam yang mantap, menjadi saingan kepada UMNO selama lebih 50 tahun. Kini parti ini diambang kekuasaan untuk membentuk pola politik Malaysia yang baru. Peluang ini menjelma berkat kesabaran dan kekentalan aqidah; berjuang di atas asas yang betul.Pas kini adalah tonggak pelengkap kepada PR. Tanpanya komponen PR yang terdiri daripada DAP dan PKR akan terjejas. Tidak ada gabungan Melayu-Islam yang padu di dalamnya.

Perkembangan semasa menunjukkan UMNO yang menjadi tunjang BN sangat memerlukan kerjasama dengan PAS untuk meneruskan dominasinya. Umum mengetahui selepas PRU ke 12, UMNO telah kehilangan pengaruh di kalangan bukan Melayu. Kuasa majoritinya di kalangan Melayu –Islam juga terjejas. Lima negeri tumbang, tiga daripadanya dikepalai oleh PAS sebagai menteri besar selepas PRU ke 12.

Kini survival UMNO mulai goyah. Parti itu kehilangan sokongan paksi-paksinya yang utama terdiri daripada MCA, Gerakan dan MIC. Ia amat memerlukan sokongan suara Melayu dan Islam yang padu bagi menolak kemaraan PKR. Tanpa PAS, PR akan kecundang. Besar kemungkinan tanpa kerjasama dengan PAS, cengkaman politik UMNO akan pincang . PAS adalah pelengkap segalanya dan berkecenderungan menjadi peneraju masa depan kerajaan Malaysia.

Peluang keemasan ini harus dipergunakan dengan kemas demi masa depan Islam di Malaysia. Harapan rakyat kepada PAS terutama Melayu Islam amat tinggi dengan syarat PAS jangan sesekali tenggelam dalam gelombang liberalisme yang telah mencairkan pegangan politik kebanyakan para pemimpin Melayu dan Islam. Daripada dasar kebangsaan mereka menjadi korprat yang mementingkan kroni. Pegangan Islam yang mengutamakan syariat menjadi liberalisme yang mencairkan Islam dalam kepelbagaian.

Kajian perkembangan politik semasa menunjukkan PAS adalah penentu keseimbangan politik negara pada masa kini. Jika diteliti ia adalah penentu masa depan politik negara jika pandai menggunakan strategi dan memanipulasikan peluang. Bagaimanakah parti ini harus menjadi pengganti kepada UMNO yang telah kehilangan arah dan menjadi parasit bangsa. Dasar kebangsaan untuk semua telah menjadi momokan dan tinggal kenangan.

PAS harus bertindak sebagai paksi utama dan nakhoda peneraju kepada PR bukannya sekadar penumpang yang mengiyakan sahaja. Politik DAP dan PKR adalah politik sekular ala UMNO juga. Lebih tepat liberalisme ala barat. Jika UMNO memerlukan PAS ia harus mengenakan syarat Islam iaitu pelaksanaan syariat sebagai asas kerjasama. UMNO yang telah lama jauh daripada Islam mesti kembali ke pangkal jalan.

UMNO yang teguh dengan politik pragmatisme telah sampai ke penghujung jalan yang buntu. Dasar federalisme yang dipegang menjadi penguasaan mutlak kerajaan persekutuan yang rakus ke atas negeri-negeri. Hingga ke peringkat dinar emas dan dirham perak pun UMNO hendak menunjukkan kuasa agar parti lain jangan melebihinya. Seolah-olah PAS tidak boleh berbuat sesuatu yang lebih baik daripada mereka. Jadi dimanakah asas untuk bekerjasama seperti yang dituntut Al Quran Tolong menolong dalam berbuat kebaikan bukannya bentu membantu dalam berbuat dosa dan permusuhan.

Sesuatu yang baik untuk Islam daripada sesiapa sahaja mestilah disokong tetapi sikap UMNO mahu mencengkamnya atas nama kerajaan. Politik iri hati ini harus dihentikan jika ingin menjalin hubungan dengan PAS. Mana mungkin ada jalinan kerjasama tanpa langkah-langkah menuju kerjasama iaitu mengiktiraf kebaikan walau pun daripada musuh kita sendiri. Inikan pula PAS adalah suara umat Melayu dan Islam yang ketara melaksanakan tuntutan syariat.

DEB sebagai dasar sosial membantu rakyat ditangan UMNO telah berubah menjadi dasar korprat yang keparat.GLC yang menghimpunkan ribuan bilion diagih-agihkan di kalangan kroni sahaja.Rakyat hanya menumpang bangga dan simpati subsidi sebagai ihsan kerajaan tetapi tidak mempunyai sebarang hak dan peluang untuk memiliki saham-sahamnya. Dasar-dasar warisan Mahathir ini mesti dihentikan untuk membentuk landskap politik baru yang lebih terbuka dan merakyat.

Jika UMNO ingin meraih sokongan PAS dasar –dasar yang lebih liberal amat diperlukan bagi merintis jalan kerjasama demi muslimat dan manfaat Islam. Hak royalti minyak mesti dikembalikan kepada Kelantan. Bantuan kepada sekolah agama rakyat mesti dilunaskan. Dasar PPSMI warisan Mahathir yang bertentangan dengan Dasar Pelajaran kebangsaan peninggalan Tun Razak mesti dilaksanakan dengan segera.

Asas kerjasama mestilah jujur dan jelas. Jangan seperti kata pepatah mulut disuap pisang buntut ditusuk onak. Satu tangan menghulur salam tetapi anggota-anggota yang lain menyepak dan menghentam . Hanya menerusi kerjasama yang ikhlas akan membuahkan hasil.Syarat utamanya ialah Islam dan kembali kepada keredhaan Allah. UMNO yang liat dengan Islam mesti insaf. Sesat dihujung jalan kembalilah ke pangkal jalan.

PAS NAFI AKAR UMBI DI PULAU PINANG

Harapan rakyat kepada parti PAS terutama di P. Pinang sangatlah tinggi. Undi padu dan amanah yang diberi kepada BN- UMNO selama 5O tahun lebih telah dikhianati . Satu demi satu kampung-kampung Melayu tumbang diasak pembangunan. Akibatnya timbul gejala rakyat terpinggir yang kebetulan menimpa umat Melayu Islam. Unjuran jika keadaan begini berterusan, menjelang 2020 Melayu akan hilang daripada Pulau Pinang.

Kemerdekaan yang sepatutnya membawa rahmat telah bertukar menjadi bala apabila kedudukan umat Melayu Islam terumbang – ambing. Tiada jaminan masa depan untuk mereka. UMNO telah meminggirkan Melayu dan menjadikan mereka golongan kelas keempat selepas China,India dan warga asing. Melayu jadi pariah di bumi sendiri.

Melayu tidak ada tanah dan hampir terhakis di sini. Dasar ekonomi kapitalis yang ditinggalkan penjajah diteruskan dengan gembira walau pun memangsakan bangsa sendiri. Jelas di bawah dasar pengkorpratan para pemimpin UMNO terutama ketua-ketua bahagian menjadi agen pemakan komisyen.Mereka menjadi perantara kepada syarikat-syarikat untuk mengeluarkan Melayu daripada kampung halaman mereka.

Begitu juga dengan peranan agensi seperti UDA yang asalnya perbadanan telah berubah menjadi komersial seratus peratus. Mereka tidak ada niat untuk membela rakyat apabila berhadapan dengan tuntutan korparat. Tanah-tanah yang diperolehi dengan harga yang murah atas nama kerajaan dan usaha mempertingkatkan sosio ekonomi Melayu telah dijual untuk dimajukan swasta. Kepentingan rakyat dihilangkan dengan sengaja.

Lihatlah apa yang sedang berlaku di Tanjong Tok Kong dan Jelutong. Rakyat terus dipinggir.Tidak ada peruntukan yang turun untuk mereka. Adalah amat pelik sesudah 9 RMK rakyat terus terabai. RMK ada, dana banyak,janji –janji berhamburan tetapi nasib rakyat terus terpinggir di antara bangunan –bangunan mewah. Kerajaan asyik membina pencakar langit manakala nasib rakyat mencakar bumi.Rakyat tidak dipedulikan lagi.

Ironinya Melayu jadi lebih parah selepas era penjajahan. Dulu mereka bertempat dalam bandar.Kini telah diasak keluar. Tidak ada lagi petempatan yang selamat untuk mereka. P.Pinang satu-satunya negeri yang tidak punya Malay Reserve.Tidak ada satu kawasan yang boleh dikatakan habitat penempatan Melayu yang kekal. Dasar liberal yang leluasa diteruskan tanpa halangan. Tanah dikiri kanan masjid juga boleh dijual kepada sesiapa sahaja. Akibatnya masjid kehilangan kariah.

Kes di masjid Jelutong dapat dijadikan sandaran. Hendak menambah tanah perkuburan yang sempit pun bermasalah. Tanah perkuburan ini tidak mengalami pembesaran selama ratusan tahun. Keperluan fardhu kifayah dan muamalah hampir terabai daripada agenda para pimpinan PAS negeri.Rakyat jadi keliru dengan hala tuju perjuangan mereka. Apa sudah jadi ? Cakap tidak lagi serupa bikin. Dulu menghukum UMNO sebagai pengkhianat. Kini PAS jadi bungkem dan buntu walau pun mengusai MAIPP.

Kempen negara berkebajikan telah menjadi retorika kosong sama seperti UMN0 yang mewar-warkan I Malaysia rakyat didahulukan pencapaian utamakan. Hakikatnya rakyat terus terhimpit. Dulu BN – UMNO memangsakan mereka. Kini PR meneruskan dasar kapitalis yang rakus. PAS pula asyik mempertahankan kerajaan negeri. UMNO pula meghukum mereka.padan muka kerana mengundi pembangkang. Rakyat terkepit jadi mangsa dengan nyata. PAS tidak boleh terlalu terikat dengan kerajaan negeri dan mesti tegas apabila rakyat dianiayai. Mereka bangkit kerana sedar dengan nasib umat.

Rakyat terus terhimpit dengan kenaikan harga barangan. Mereka dikenakan bil –bil dan cukai yang tinggi.Sehingga kini taraf gaji minima seperti terlalu sukar dilaksanakan. Negara kebanjiran warga asing yang merampas peluang kerja rakyat tempatan. Semua masalah ini menuntut kepekaan PAS yang dulu sangat aktif berdemonstrasi. Kini berlaku anti klimaks apabila PAS yang berhadapan tunjuk perasaan terutama rakyat menuduh mereka alat BN. Tidak bersuara dikatakan pengecut.Bila bersuara mereka pula dicemuh.

PAS sebagai gerakan massa mesti melaksanakan tuntutan negara berkebajikan dalam skala kecil.Sekurang-kurang bekerjasama dengan NGO untuk menyelami kehendak akar umbi. Apakah tidak ada upaya untuk melaksanakan tuntutan rakyat berhadapan dengan glombang ekonomi kapitalis yang tidak mengenal batas kemanusiaan hanya kebendaan semata-mata. Tekanan daripada PAS dan NGO atas nama rakyat akan menggentarkan DAP yang lupa diri dan PKR yang terlalu liberal. Mereka perlu disedarkan agar peka.

Usaha mempertahankan kariah adalah satu tuntutan syariat. Rakyat. Di P.Pinang Melayu hilang kariahnya. Kita pun tidak pun gelisah. Di banyak tempat penempatan kariah hilang begitu sahaja secara beransur-ansur. Yang tertinggal hanya masjid tanpa penduduk terutama di kawasan pusat-pusat bandar. Adakah keadaan begini yang berlaku kerana ketidakpedulian UMNO akan diteruskan oleh PAS yang perihatin nasib umat ?

PAS bukan sekadar parti berideologi. Ia adalah gerakan Islam contoh yang mengkhidmati rakyat. Ia mesti ada pendirian.Ada perkara yang kita boleh bertolak ansur tetapi tidak semuanya. Dalam hal ini dasar DAP dan PKR yang terlalu liberal tidak harus menjadi ikutan PAS secara melulu. Memang PKR tidak mengutamakan Melayu iaitu rakyat terpinggir. Hendak mempertahankan Pasar Ramadzan pun tidak mampu. Apa lagi agenda yang lebih besar. Mereka tenggelam usaha ke Putra Jaya tanpa menabur jasa.

Para pemimpin Melayu dalam PR P.Pinang mudah berubah sikap. Mereka seperti tidak ada tulang belakang untuk menolong rakyat. Program yang mereka gemari ialah sekadar bantuan ala kadar untuk mempopularkan diri dan parti. Mereka yang baru berkuasa tidak sampai tiga tahun telah kehilangan arah. Para pemimpinnya terbenamm dalam urusan kerajaan sehingga tidak ada masa menyelami dan membela nasib rakyat. Dahulu mereka adalah jaguhnya sebagai strategi untuk mendapat kuasa.

Sepatutnya dalam keadaan genting ini PAS harus menjadi lebih terbuka. Ia harus merintis kerjasama dengan UMNO demi muslihat umat. Dalam melaksanakan kebajikan tentu masih ada jalan untuk menjalin hubungan. Adakah dalam perkara melaksanakan kebajikan pun kita mesti bermusuhan. Bentuk kerjasama boleh dirintis demi untuk memartabatkan Melayu dan Islam yang serba ketinggalan di P.Pinang.

Tun Abdullah mantan PM yang mempunyai banyak pengaruh harus mengorak langkah dengan pimpinan PAS. Beliau kini tentu mempunyai masa yang banyak untuk menumpu secara khusus dalam menjalin kerjasama terutama dikalangan praksi-praksi Islam yang bertentangan. Ini merupakan amal jariah beliau yang amat dialu-alukan.

Banyak agensi yang yang memiliki dana yang besar seperti Khazanah Nasional, Baitul Mal, PUZ, agensi-agensi Persekutuan harus bergerak membantu rakyat yang perlu dibantu. Di zaman Tun Razak kerajaan berjaya menggerakkan agensi-agensinya dengan berhempas pulas untuk menolong rakyat.

Keadaan sekarang lebih mewah dan PAS mesti mengusahakan jalan mengotakan konsep negara berkebajikan yang diwar-warkannya dengan menggunakan dana –dana rakyat yang dipegang oleh kerajaan.Peruntukan ini tetah digunakan dengan leluasa untuk tujuan politik terutama semasa pilihanraya. Hak rakyat untuk menerima peruntukan terutama di P.Pinang telah dinafikan. Mereka terbiar kerana tidak dibantu.

PAS harus mengambil peluang menonjolkan diri sebagai pembela rakyat dan pemain politik yang bijak. Di P.Pinang jika kita terlalu terikat dengan kerajaan negeri, rakyat akan menjadi mangsa. Kita menyokong mereka kerana mereka membantu kita.Jika mereka mengutamakan kaum tertentu sahaja dan zalim terhadap rakyat yang lain, kita mesti memperbetulkan. Suara rakyat sebagai suara keramat mestilah dibuktikan untuk diambil oleh kerajaan negeri melalui saluran parti.

Populasi Melayu di P.Pinang terutama di bandar raya kian merosot. Tidak ada penyertaan Melayu yang bermakna dalam perkembangan ekonomi. Tanah milik Melayu hampir tiada. Kalau ada pun cebisan yang tertinggal ialah tanah-tanah wakaf. Itu pun hendak dimajukan untuk tujuan komersial.Kini PAS lah yang menguasai Majlis Agama bersama dengan PKR. Mesti ada agenda yang berkesan untuk melestarikan muamalah Islam.Bukan sekadar menjalankan pentadbiran. Wakaf mesti kekal wakaf.Inilah amanah.

Hampir tidak ada penambahan kawasan untuk penempatan rakyat yang sangat memerlukan perumahan. Rata-rata projek yang dibina dengan ghairah ialah hotel,perumahan mewah,premis perniagaan, padang golf, resort, marina,kondo mewah dan pusat-pusat pelancongan. Segalanya berasaskan komersial. Keadaan ini mesti diseimbang di antara tuntutan sosial dan komersial, projek korprat dan rakyat.

PDC sebuah agensi kerajaan negeri terus membina rumah berjuta ringgit di atas tanah tebusguna laut yang menjadi milik kerajaan. P.Pinang kekurangan tanah tetapi bungalo mewah dibina dengan megah.Itu pun untuk pasaran terbuka bagi menarik kedatangan warga asing membeli rumah kedua di P.Pinang. Gaya BN yang pro korprat telah diteruskan dengan giat. Keadaan nampaknya tidak berubah antara BN dan PR.

Gaya ekonomi bebas yang kurang kepedulian terhadap nasib rakyat bawahan nampaknya sedang diteruskan oleh PR di P.Pinang. Langsung tidak ada agenda rakyat yang berkesan. Sedangkan usia pemerintah telah memasuki tahun ke tiga. Umar Abdul Aziz yang kononnya dijadikan model, hanya mengambil masa dua setengah tahun sahaja untuk membela nasib rakyat. Beliau tidak sahaja bercakap tetapi mengotakannya dengan cekap.

Keghairahan kerajaan negeri amat ketara apabila bertindak meruntuhkan gera-gerai rakyat yang mencari rezeki secara halal dan ala kadar. Disebabkan daif, mereka membina gerai-gerai di sudut sudut jalan yang berlebihan.Itu juga dilakukan oleh para peniaga berbagai kaum terutama di Batu Feringhi.Namun tidak diambil tindakan pun.

Tindakan yang keras telah pun dilakukan secara konsisten terhadap rakyat walau pun premis perniagaan tidak mengganggu lalu lintas. Kafe Doremi yang begitu kreatif telah menjadi mangsa yang bertalu-talu. Hatta hendak meletak pondok berniaga pun tidak boleh.Sedangkan premis bungalo yang membina pagar batu di atas tanah pantai akses kerajaan dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan. Jelas double standardnya.

Kerajaan negeri juga berdiam diri apabila penghuni Villa Ria menebang pokok-pokok rendang puluhan tahun. Hanya kerana pokok-pokok tersebut menghalang pandangan mereka yang memandang ke pantai. Kehijauan pokok –pokok yang menghiasi pantai dan memberi keteduhan kepada orang awam yang mengunjunginya hilang dalam sekelip mata. Sedangkan slogan kerajaan negeri mengutamakan kehijauan. Mengapa didiamkan.

Semasa kekuasaan BN, PAS menilai tindakan meroboh premis –premis rakyat sebagai zalim apabila Khir Toyo meruntuhkan gerai dan surau terutama milik para penyokong pembangkang. PAS menjadi juara yang membela mustadhafin menentang kekuasaan mustakbirin. Mengapa apabila kerajaan negeri bertindak ke atas premis rakyat miskin PAS membisu. Sikap PAS yang konsisten membela rakyat telah tercalar apabila cakap tidak serupa bikin. Kini parti itu sedang diuji sejauh manakah kepekaannya.

Amat malang apabila tidak ada para pemimpin PAS yang tampil untuk membela. Sekurang-kurang menegur ketelanjuran DAP yang amat rakus ini. Pendirian seperti ini yang meniru sikap para pemimpin UMN0 yang bertindak sebagai rubber stamp amat dikesali rakyat. Yang terkena ialah rakyat bawahan. Mereka kata PR adalah kerajaan pro rakyat bukannya pro korporat. Mengapa mereka mudah berubah apabila berkuasa.

Tebusguna laut di hadapan pantai Tg Tokong seluas 1000 ekar langsung tidak memperuntukkan bahagian untuk rakyat mengatasi masalah kepadatan penduduk di kawasan berhampiran yang sekian lama telah diabaikan UMNO–BN sepanjang pemerintahannya. Kajian rambang menunjukkan hampir 1500 kelamin tiada berumah di kawasan Tg Tokong.Ini adalah satu tuntutan bukannya bebanan kepada kerajaan negeri .

Akibatnya mereka terpaksa membina rumah di tepi laut. Adakah mereka akan dilayak atas alasan menceroboh tanah kerajaan.Sedangkan kerajaan tidak menunaikan tanggung jawap sosialnya untuk membina penempatan yang mencukupi untuk keperluan rakyat. Penempatan yang selaras dengan kemampuan rakyat. Jika Singapura sebuah pulau kecil berupaya membina perumahan rakyat yang mencukupi mengapakah kita tidak mampu?

Kerajaan mesti kembali kepada fungsinya yang asal iaitu sebagai penanggung jawap sosial rakyat bukannya menjadi syarikat korprat yang terbesar untuk mengaut keuntungan semata-mata. Agensi-agensi seperti MPPPP kini lebih ketara peranannya untuk menyaman dan mengutip hasil. Tanah kepunyaan MPPPP langsung tidak dibangunkan lagi untuk fungsi sosial seperti perumahan dan projek untuk menangani masalah rakyat.

Hampir tidak terdapat peranan sosial yang boleh melegakan rakyat. Kesesakan jalan raya berterusan.Tempat parking amat berkurangan. Saman meningkat. P.Pinang dipenuhi terlalu banyak bangunan lama yang uzur yang menghalang proses pelebaran jalan dan parit serta membuka ruang untuk re unbinasation / proses membandarkan semula.Gerai-gerai lama dibiarkan memburuk tanpa ada cetusan idea membina semula bagi membuka ruang dan peluang perniagaan kepada rakyat. Contohnya seperti keadaan di Padang Brown yang terus lusuh dan kotor. Sisa peninggalan BN harus dibiarkan begitu sahaja.

Di zaman penguasaan kerajaan Front Sosialis yang menguasai Majlis Perbadaran George Town terlaksana projek perumahan rakyat seperti di Sungai Pinang dan Kampung Herriot. Masalah perumahan rakyat yang paras telah di atasi. Kini di bawah DAP yang diwar-warkan cenderung kepada sosialisisme iaitu mengutamakan kebajikan rakyat, agenda rakyat yang nyata hampir tidak kelihatan .Yang terdengar ialah suara –suara bahawa kerajaan tidak lagi akan membina rumah-rumah kos rendah untuk rakyat . Mengapakah sampai ke tahap begitu ? Bolehkah kerajaan melupuskan tanggung jawap sosial begitu sahaja dengan menjadi P.Pinang hanya sesuai bagi golongan kaya –mewah.

Meninjau keadaan Melayu P.Pinang kebanyakan mereka hanya menjadi pengawal keselamatan, pekerja rendahan dan kaki tangan kerajaan. Dari segi petempatan, habitat Melayu kian menghilang. Petempatan mereka digempur sengit hasil perkembangan ekonomi komersialisme yang rakus. Ruang untuk rakyat makin terhimpit. Ditambah dengan kebanjiran warga asing yang membeli rumah kedua di kondo dan rumah mewah.

Gelombang komersialisme yang digerakkan oleh sistem ekonomi bebas akan meninggalkan orang Melayu dalam kenangan. Perkara ini amat ketara apabila kita melihat di George Town. Wajahnya tidak ubah seperti Taiwan, Hong Kong dan Macao.

Penguasaan kaum China amat ketara. Langsung tidak ada usaha untuk mengimbanginya.

Hakikatnya PAS bukan komponen yang membentuk kerajaan PR di P.Pinang. Ia hanya memenangi 1 kerusi sahaja. Kesempatan ini membuka peluang kepadanya menjadi suara yang lantang untuk menegur PR supaya tidak bertindak seperti BN yang tidak pedulikan nasib rakyat. Inilah kesempatan untuk PAS menggerakkan jenteranya bagi memenangi hati rakyat. Inilah peluang keemasan untuk parti itu menggantikan dan mengambil alih peranan UMNO yang amat cuai di P.Pinang. Pinta dan peluang terbuka.

Namun perkembangan menunjukkan PAS di P.Pinang kini nampaknya menjadi musuh kepada NGO yang kritikal dan amat tidak peka dengan suara akar umbi terutama rakyat yang menggapai pertolongan . Ia amat bersemangat untuk menjaga dominasi DAP sebagai tonggak PR. Ia amat perihatin pada isu bukan Melayu. Apabila para peniaga digempur agensi-agensi kerajaan persekutuan seperti kastam dan Kementerian Perdagangan dan Pengguna PAS di Batu Feringhi para pemimpin PAS begitu sensitif.

Rakyat sangat mengharapkan PAS yang kebetulan lahir di P.Pinang bangkit membela rakyat yang terperangkap sama ada oleh BN atau PR. PAS adalah gerakan massa yang mejadi harapan kerana ia berlandaskan petunjuk Ilahi dan akhlak Rasul. Al Quran telah berpesan ”Apabila diberi kekuasaan jangan berbuat kesewenangan dan menjadi kekayaan hanya berlegar-legar disekitar satu golongan sahaja”. Adakah suara akar umbi ini difahami para pemimpin di ambang kuasa.Mesej ikhlas telah pun disampaikan.

Oleh Mohd Salleh Yahaya( e mail mohdsalleh.yahaya@gmail.com

Pengerusi NGO Persatuan Penduduk Kampung Tanjong Tok Kong

10470 Pulau Pinang

Isnin 17 Ogos 2010/5 Ramadzan 1431.